Saya mengalu-alukan seruan Menteri Besar Johor Datuk Haji Hasni bin Mohammad pada hari Khamis untuk mengenepikan perbezaan politik bagi menghadapi krisis COVID-19, khususnya dalam usaha menghulurkan bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pendirian MB Johor menunjukkan kepimpinan yang matang, namun, malang sekali, kawan-kawan beliau di Putrajaya bertindak sebaliknya, iaitu mereka sanggup menggadaikan kepentingan rakyat di sema kawasan pembangkang.
Di Johor, kami mendapat maklumat bahawa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah dilantik sebagai penyelaras untuk pengagihan 1000 beg bantuan makanan di setiap kawasan Ahli Parlimen pembangkang dalam negeri Johor. Arahan oleh Putrajaya kepada pegawai di setiap daerah diberi secara lisan dan tiada sebarang dokumen yang boleh dirujuk oleh penjawat awam. Ini seakan-akan ingin menyusahkan penjawat awam yang terkepit di tengah permainan politik. Ini adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan akan mengakibatkan kekeliruan. Yang rugi ialah orang susah yang memerlukan bantuan, serta penjawat awam yang terperangkap di tengah-tengah.
Sekiranya pihak Putrajaya langsung tiada membuat keputusan sebegini, maka Datuk Seri Wee Ka Siong ataupun pihak JKM mesti mengeluarkan surat atau kenyataan secara rasmi memaklumkan bahawa 1000 beg bantuan makanan akan diagihkan oleh semua ahli parlimen tidak kira parti kerajaan atau pembangkang.
Perdana Menteri menggesa Rakyat bersatu menhadapi wabak Covid-19, dan saya amat setuju sekali. Namun mengapa menteri kabinet beliau pula membeza-bezakan Rakyat kawasan pembangkang sekiranya arahan yang disampai dalam bentuk lisan adalah sahih?
Oleh sebab permainan politik sebegini, maka pengagihan bantuan dan makanan di semua tempat kini tertangguh dan bantuan kepada Rakyat lambat sampai kepada mereka.
Saya dimaklumkan bahawa perkara yang sama berlaku di negeri-negeri lain di mana pemimpin parti UMNO tempatan diberi kuasa membuat keputusan berbanding wakil rakyat. Saya menyeru agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk melihat kepada kebajikan rakyat dahulu dan bukan kepentingan parti UMNO.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menjelaskan rasional tindakan sebegini, suatu keputusan yang memecah belahkan rakyat, mengenepikan kepentingan golongan yang susah dan mendahulukan kepentingan politik parti tertentu sahaja.
Akhir sekali, saya menyeru agar pemimpin di Putrajaya membaca nukilan MB Johor dan mentauladani beliau sebagai seorang pemimpin yang matang dalam masa negara mengharungi krisis wabak Covid-19.