Adakah Perdana Menteri akan mengambil tindakan atas pendedahan Suruhanjaya Sekuriti mengenai konspirasi licik Azam Baki untuk menyembunyikan kekayaan sahamnya yang tidak dapat dijelaskan dan jumlah serta kuantum dagangan saham yang luar biasa melebihi kemampuan kewangannya sebagai penjawat awam?
Perdana Menteri Ismail Sabri harus menghentikan percubaan tidak jujur kerajaan untuk menutup salah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dengan melindunginya daripada sebarang hukuman atas kesalahan dan pembohongan beliau. Ismail berkata pembangkang harus menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang membersihkan Azam daripada sebarang salah laku dalam pemilikan saham korporatnya.
DAP ingin mengingatkan Ismail bahawa pembangkang tidak akan menerima keputusan yang dibuat secara salah dan bertentangan dengan undang-undang. Apabila Azam menzahirkan rasa terima kasih kerana SC telah membersihkannya daripada salah laku kerana membenarkan akaun dagangan sahamnya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh berjuta-juta saham dalam syarikat tersenarai, ini jelas salah kerana seperti mana-mana pasaran modal yang berfungsi di dunia, Malaysia juga melarang dagangan saham secara proksi.
Keengganan pembangkang untuk menerima keputusan SC sebelum ini telah terbukti betul dengan penjelasan terbaru oleh SC bahawa “bukti bebas” yang dikumpul dalam siasatan itu menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan tunggal ke atas akaun dagangan tersebut bagi memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti. SC membuat kesimpulan bahawa tiada dagangan secara proksi melalui akaun saham Azam oleh adik lelakinya seperti yang didakwa oleh Azam.
Dalam erti kata lain Azam berbohong apabila dia cuba mewajarkan pegangan sahamnya yang berjuta-juta ringgit dan urus niaga saham yang melibatkan jutaan ringgit dengan mendakwa akaun dagangan sahamnya digunakan sebagai akaun proksi oleh adiknya. Skandal Azam kini telah bertukar menjadi episod pembohongan bersiri apabila satu pembohongan didedahkan, lebih banyak lagi pembohongan diperlukan untuk menutup pembohongan yang lain.
Jelas sekali ini adalah konspirasi licik oleh Azam untuk menyembunyikan kekayaan sahamnya yang tidak dapat dijelaskan dan jumlah dan saiz dagangan saham yang luar biasa melebihi kemampuan kewangannya sebagai penjawat awam. Inilah yang perlu diberikan tumpuan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat tipu helah Azam dengan mencari kebenaran daripada fakta dan bukannya memanipulasi realiti untuk menyembunyikan kesalahan jenayah.
Jika Perdana Menteri menerima keputusan SC bahawa Azam berbohong apabila mendakwa akaun sahamnya digunakan oleh adik Azam sebagai akaun proksi, maka beliau harus segera mengambil tindakan dengan meminta Azam bercuti sementara menunggu siasatan bebas dan saksama oleh panel yang kredibel yang boleh menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.