Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri akan menghentikan tindakan SPRM yang giat menjalankan siasatan palsu dan berunsurkan politik yang membolehkan koruptor melepaskan diri tanpa dihukum namun menghukum orang yang jujur dan lurus? SPRM terkenal dengan tindakan memulakan dan menghentikan siasatan mereka yang telah membenarkan agensi kerajaan dan pemimpin politik, termasuk Menteri, melepaskan diri tanpa dihukum sambil menumpukan perhatian kepada mereka yang enggan sama ada patuh pada kerajaan atau mengkhianati mandat rakyat dengan berpaling tadah untuk menyokong kerajaan.
Insiden lompat parti secara besar-besaran oleh Ahli Parlimen dan ADUN yang telah dibenarkan untuk diteruskan tanpa halangan telah membawa kepada kecaman orang ramai terhadap semua ahli politik dan menggerakan sokongan orang ramai terhadap Undang-undang Anti-Lompat Parti untuk menghalang wakil rakyat melompat dari satu parti ke parti lain demi kepentingan jawatan atau peruntukan awam. Walaupun SPRM memfailkan kes-kes rasuah yang jelas di mahkamah, pertuduhan sedemikian boleh ditarik balik yang nampak seperti membenarkan rasuah.
Ini berikutan keputusan SPRM baru-baru ini untuk menggugurkan dan tidak meneruskan 146 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM32.93 juta terhadap seorang bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah sebagai pertukaran dengan membayar kompaun sebanyak RM30 juta. Ramai tertanya-tanya logik, akauntabiliti dan moral atau etika awam di sebalik kes pengubahan wang haram untuk hampir RM33 juta diselesaikan dengan RM30 juta. Bukankah SPRM juga sepatutnya mempersoalkan kemampuan untuk membayar kompaun RM30 juta oleh seorang bekas penjawat awam?
Siasatan terbaharu SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan atas dakwaan kekayaan tidak dapat dijelaskan tanpa sebarang bukti berjumlah RM1 juta yang didakwa oleh pembohong tegar Raja Petra Kamaruddin (RPK), amat berbeza dengan kurangnya semangat dan tenaga SPRM dalam menyiasat kekayaan tidak dapat dijelaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang telah disahkan. Fakta bahawa ini adalah hakim yang sama yang mensabitkan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak dan tiada tindakan segera diambil oleh SPRM terhadap RPK untuk memeriksa kebenaran dakwaan ini, termasuk terbang ke London untuk menyoal siasat RPK di mana beliau kini bersembunyi, menimbulkan kebimbangan tentang campur tangan yang tidak diingini oleh SPRM dan kepentingan pihak tertentu.
Kenapa Muhyiddin Yassin Masih Berdiam?
Terdapat dua darjat yang jelas, berat sebelah terpilih, sikap tidak profesional dan juga salah guna kuasa apabila Azam boleh melancarkan siasatan segera ke atas dakwaan kekayaan Nazlan yang tidak dapat dijelaskan yang belum terbukti sementara tidak melakukan perkara yang sama ke atas kekayaan Azam yang tidak dapat dijelaskan yang telah disahkan melibatkan berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit. Azam telah didedahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti sebagai berbohong bahawa adiknya telah menggunakan akaun sahamnya secara proksi apabila Azam didedahkan sebagai pengendali tunggal akaun tersebut.
Keadilan tidak ditegakkan dalam kes-kes ini. Tiada pemimpin kerajaan bersuara menentang dua darjat yang diterapkan SPRM, terutama bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mendakwa sebagai penjaga terhadap kembalinya kleptokrat berkuasa. Kenapa Muhyiddin masih berdiam diri?
Adakah SPRM telah menjadi senjata politik yang digunakan atau disalahgunakan oleh kepentingan politik pihak tertentu? Kekurangan konsistensi dan komitmen SPRM yang mengecewakan dalam memerangi rasuah hanya akan menyumbang kepada penurunan lebih teruk Indeks Persepsi Rasuah Transparency International Malaysia 2022 yang pada 2021 merosot kepada No. 62 daripada No. 51 pada 2019.