Adakah saya terlalu dramatik apabila saya mengatakan semalam yang “Selepas 54 tahun, Malaysia menghampiri satu lagi episod kekecohan seperti 13 Mei 1969”?
Mari kita imbau kembali kepada hari-hari 11, 12, dan 13 Mei 1969.
Adakah sesiapa menjangkakan yang rusuhan 13 Mei 1969 akan tercetus?
Pelik sekali, selepas lebih dari tiga dekad, saya telah dituduh sebagai mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969.
Sekiranya ada apa-apa bukti yang saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969, saya telah jangkakan ahli pentadbiran ataupun ahli backbencher untuk membuat tuduhan tersebut terhadap saya di Parlimen semasa Parlimen bersidang semula pada Februari 1971, di mana saya telah menyertai perbahasan mengenai pindaan Perlembagaan yang disebabkan oleh rusuhan 13 Mei 1969 ini.
Tidak ada bukti seperti ini.
Tuduhan liar dan tidak masuk akal yang kononnya saya mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 ini mula muncul dalam abad ke-21, lebih dari tiga dekad selepas kejadian ini.
Mengapakah begini?
Dalam perbahasan meminda Perlembagaan di Parlimen pada 23 Februari 1971 untuk untuk menerapkan empat isu sensitif dari dipersoalkan di mana-mana, termasuklah di Parlimen sekali pun, saya mengisytiharkan pendirian DAP mengenai empat isu ini:
- Kedaulatan Raja-Raja Pemerintah – “Kami dalam DAP tidak dan tidak pernah mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Pemerintah.”
- Kerakyatan – “Apa yang saya ingin katakan mengenai perkara ini adalah walaupun sekarang sudah menjadi jenayah untuk mempersoalkan kerakyatan rakyat Malaysia, kita ada contoh yang jelas di mana seorang pemimpin dengan imuniti menyeru supaya kerakyatan seorang pemimpin kesatuan pekerja ditarik semula kerana bercakap menentang kerajaan. Bagaimanakah penerapan isu ini ke dalam Perlembagaan Persekutuan mengubah perkara ini?”
- Bahasa Kebangsaan – “DAP sentiasa, tanpa syarat, menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, sebagai satu faktor penting penyatuan dalam masyarakat berbilang kaum. Apa yang DAP bantah dan apa yang rakyat risaukan adalah pengunaan Bahasa Kebangsaan sebagai alat untuk menghapuskan bahasa dan budaya lain di Malaysia. Kami menerima yang Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin pemeliharaan dan pengayaan bahasa-bahasa lain di dalam negara ini. Perkara ini bermakna, tidak ada mana-mana kumpulan bahasa dalam negara ini perlu bimbang mengenai kemerosotan atau kepupusan bahasa mereka.”
- Peruntukan Istimewa orang Melayu – “DAP juga telah dituduh sebagai membantah kedudukan istimewa untuk orang Melayu. Sekali lagi kami jemput kerajaan untuk memberikan satu bukti dari ucapan dan kenyataan kami untuk menunjukkan yang kami membantah usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu. Sebagai sosialis demokratik, kami berdedikasi terhadap usaha untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduran ekonomi tanpa mengira kaum. Kami mahu menicpta komuniti rakyat Malaysia yang tidak ada perbezaan antara kelas, yang diasaskan kepada persaudaraan, kerjasama, dan khidmat, di mana tidak ada eksploitasi manusia dengan manusia, kelas dengan kelas, atau kaum dengan kaum. Kami sokong apa-apa usaha yang akan membantu orang Melayu yang susah. Tetapi kami membantah keras penggunaan kedudukan istimewa orang Melayu untuk mengayakan golongan kaya baru Melayu lagi, sedangkan golongan marhaen dan miskin kekal dieksploitasi.
Saya katakan pada bukan Februari 1971, dua tugas utama Malaysia pasca-13 Mei adalah:
- Untuk memulihkan perpaduan negara dan menghentikan polarisasi nasional dalam negara dengan meyakinkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, yang mereka ada bahagian yang sama dalam Malaysia, dengan membuang ketidakseimbangan dalam pelbagai bidang kehidupan di Malaysia yang membawa kepada keterasingan dan permusuhan antara kaum.
- Mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi berparlimen dengan menjalankan sistem demokrasi berparlimen secara tulen, kerana tanpa proses sebegini, tidak mungkin akan ada negara bangsa Malaysia yang tulen di mana semua orang mendapat peluang yang sama di bawah langit Malaysia.
Di hujung ucapan perbahasan saya, saya cadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan untuk mempelajari pengajaran dari rusuhan 13 Mei 1969 dan pentadbiran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selama 21 bulan, dan untuk mencari penyelesaian yang membawa kepada sebuah Malaysia yang bersatu padu, berbilang kaum, adil, dan saksama.
Saya perlu berterima kasih kepada Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat, Tun Hanif Omar, yang telah membawa kepada penyahrahsiaan satu dokumen Akta Rahsia Rasmi dari tahun 1969 – kenyataan yang saya berikan kepada pihak polis semasa berada dalam tahanan di Balai Polis Kuala Selangor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selepas saya menolak nasihat untuk tidak kembali ke Malaysia dan kembali ke tanah air pada 18 Mei 1969.
Saya ditanya oleh pihak polis pada tahun 1969, apakah kepercayaan politik saya dan saya nyatakan lapan perkara berikut 54 tahun yang lalu:
- Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.
- Melainkan rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China, India, atau Indonesia, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.
- Dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan hanya akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.
- Dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.
- Kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.
- Saya mahukan sebuah kerajaan yang bersih, jujur, efisyen, bebas dari rasuah, dan berkesan.
- Hanya demokrasi berparlimen yang dapat mengelakkan dari terjadinya pertembungan antara kaum. Apa-apa bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka di antara kaum.
- Komunisme tidak kondusif dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.
Saya telah berpegang dengan kelapan-lapan perkara ini dalam kerjaya politik saya selama hampir setengah abad dan perkara-perkara ini patut menjadi asas untuk Malaysia menetapkan semula dasar dan hala tuju negara kepada prinsip-prinsip yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Tidak ada sesiapa yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk berhenti menjadi seorang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, atau Muslim, Buddha, Hindu, Tao, atau Sikh, tetapi kita semua perlulah mengutamakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia sebelum identiti etnik, agama, atau kawasan kita.
Sekiranya saya tahu yang rusuhan 13 Mei 1969 sedang dirancang dan bakal tercetus, saya tidak akan mengadakan perarakan berterima kasih untuk kawasan parlimen Bandar Melaka dan sambutan kemenangan di padang Bandar Hilir pada 12 Mei 1969, dan saya mungkin tidak akan terbang ke Kota Kinabalu untuk satu perarakan awam untuk membantu calon bebas di parlimen Kota Kinabalu pada 13 Mei 1969.
Tetapi, kita hanya tahu selepas peristiwa tersebut.
Merenung kejadian rusuhan 13 Mei 1969, semua parti-parti politik dan calon-calon dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini patut merendahkan suhu polarisasi hubungan antara kaum dan agama dan berhenti mengeksploitasi isu-isu 3R.