Skip to content

Adakah semua parti politik dan calon dalam enam pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini akan mengisytiharkan yang mereka tidak mahu berulangnya rusuhan 13 Mei 1969 di Malaysia dan mengulangi kepentingan Rukun Negara sebagai prinsip asas untuk membina sebuah Malaysia yang majmuk?

Selepas 54 tahun, Malaysia menghampiri satu lagi episod kekecohan seperti 13 Mei 1969.

Adakah semua parti-parti politik dan calon-calon dalam enam pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini akan mengisytiharkan yang mereka tidak mahu berulangnya rusuhan 13 Mei 1969 di Malaysia dan mengulangi kepentingan Rukun Negara sebagai prinsip asas untuk membina sebuah Malaysia yang majmuk?

Semalam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mengecam tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap pengarah pilihan raya Perikatan Nasional dan penyandang Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengatakan tindakan ini sebagai pendakwaan terpilih dan mempersoalkan keperluan untuk menangkap Sanusi pada jam 3 pagi.

Walaupun penangkapan Sanusi oleh pihak polis pada jam 3 pagi boleh dianggap keterlaluan dan sebagai satu salah guna kuasa, Zainuddin tidak mengulas pula mengenai sidang media oleh Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, yang dibuat lima jam lebih awal mengenai pengurusan kes ini oleh pihak polis, di mana dia mengatakan pihak polis hanya terpaksa menangkap Sanusi selepas cubaan untuk menghubungi Sanusi dan pembantunya ditolak dan pihak polis berhadapan dengan kesukaran untuk menjejaki kedudukannya.

Mengapakah Zainudin gagal untuk mengulas mengenai penjelasan KPN yang dibuat lima jam sebelum itu? Adakah KPN bercakap perkara yang benar?

Apakah komen Sanusi mengenai dakwaan Razarudin yang Sanusi tidak dapat dihubungi sebelum waktu pendakwaannya yang telah dijadualkan ini?

Tokoh-tokoh kemerdekaan negara, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Ismail Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, dan V.T. Sambanthan membayangkan sebuah negara yang dibentuk oleh orang Melayu dan bukan Melayu, dan kerana inilah adanya Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada orang Melayu sahaja, di mana orang bukan Melayu tidak disekat dari menjadi Perdana Menteri walaupun Perkara 43(7) menyekat mana-mana orang yang menjadi rakyat Malaysia melalui proses naturalisasi atau pendaftaran di bawah Perkara 17 dari menjadi seorang Perdana Menteri.

Saya tidak menjangka untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi seorang Perdana Menteri dalam jangka hayat saya atau dalam hidup anak saya.

Saya pernah kemukakan soalan ini di Parlimen semasa perbahasan Belanjawan 2009 pada bulan November 2008.

Saya katakan, menjadi satu perkara yang tidak dapat difikirkan sebelum ini, untuk seseorang yang berkulit hitam, yang merupakan hamba sehingga kira-kira 150 tahun yang lepas, untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Dengan kemenangan bersejarah Obama, ramai rakyat Malaysia juga tertanya-tanya sama ada mungkin untuk seorang Cina, India, Kadazan, atau Dayak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, walaupun Perlembagaan sendiri amat jelas mengenai perkara ini, mengatakan mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, boleh menjadi seorang Perdana Menteri.

Saya katakan, sekiranya persoalan seperti ini dikemukakan 50 tahun yang lepas, tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Dr. Ismail Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, dan V.T. Sambanthan akan tanpa ragu-ragu menjawab secara positif memandangkan tidak ada sekatan perlembagaan – yang merupakan satu persoalan berasingan dari sama ada ia akan terjadi atau tidak.

Saya katakan di Parlimen pada November 2008 yang sekiranya soalan yang sama ditanyakan pada ketika itu, akan ada suara-suara kuat yang akan bangkit dan mengatakan tidak, dan saya tanyakan:

“Mengapakah hubungan antara kaum dan usaha pembinaan negara di Malaysia kelihatan seperti bergerak ke belakang dalam 50 tahun yang lepas berbanding dengan perkembangan di AS dengan kemenangan bersejarah Obama dalam pemilihan presiden di AS??

Kita kelihatan seperti telah termerosot jauh lagi ke belakang dalam tahun 2023.

Selepas enam dekad membina negara, Malaysia telah terjatuh dari sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada negara biasa-biasa sahaja. Kita kini menjadi sebuah negara yang merosot.

Adakah kita ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup?

Inilah persoalan yang paling penting, yang akan ditentukan oleh enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos – sama ada kita mampu untuk menyelamatkan Malaysia dengan menetapkan semula dan mengembalikan negara kita prinsip-prinsip asal untuk sebuah Malaysia majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk kita satukan semula sebuah negara yang amat terpolarisasi dan untuk kita jadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan sistem politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial yang bertaraf dunia dan bukannya terus menjunam ke arah sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup?