Adakah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memiliki paspot Amerika Syarikat, sehinggakan beliau nampaknya lebih berminat mempertahankan kepentingan badan kehakiman Amerika Syarikat, daripada mendedahkan kebenaran tentang dakwaan wang berbilion-bilion telah dicuri daripada dana berdaulat negara, 1MDB?
Atau adakah setelah beliau dilantik semula menjadi Speaker oleh Malaysian Official 1 (MO1) pada tahun 2013, Pandikar telah mengangkat sumpah taat setia kepada Presiden Amerika Syarikat, dan bukan kepada Yang di-Pertuan Agong? Ini kerana beliau nampaknya bertindak seolah-olah lebih peduli akan kepentingan kes mahkamah di Amerika, berbanding kemuliaan dan kebebasan institusi Parlimen Malaysia.
Semalam, Pandikar menyebut bahawa salah satu sebab kenapa Parlimen tidak membenarkan soalan-soalan berkenaan saman sivil 1MDB yang sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) adalah kerana Parlimen tidak boleh bertindak secara sub-judis dan mempengaruhi saman DOJ itu.
Pandikar sepatutnya diperingatkan bahawa orang yang mengesahkan identiti MO1 dalam saman tersebut sebagai Datuk Seri Najib Razak, adalah menteri UMNO dari negerinya sendiri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Bukan itu sahaja, Rahman malah mempersoal pula identiti pengadu dalam saman DOJ itu yang didakwa bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran Najib Razak.
Pandikar tidak ada sebab dan alasan untuk menghalang Parlimen termasuk juga Abdul Rahman daripada memastikan identiti MO1, isteri MO1 dan juga pengadu dalam saman DOJ itu kecuali jika Pandikar sendiri mempunyai agenda untuk menyembunyikan hakikat di sebalik skandal mega 1MDB.
Adakah Pandikar telah menghubungi pihak FBI untuk memastikan bahawa soalan-soalan 1MDB berkenaan saman DOJ di Parlimen Malaysia boleh mempengaruhi keputusan mahkamah di Amerika Syarikat atau adakah Pandikar yang melebih-lebih mahu membantu FBI?
Bagi membuktikan bahawa mahkamah Amerika benar-benar memerlukan perlindungan Pandikar daripada perlakuan sub-judis Parlimen Malaysia, beliau mesti menulis secara rasmi kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk memperjelaskan perkara terbabit, dan bukan memandai-mandai sendiri.
Jika tidak, jangan marah kalau orang mengata Speaker tidak pandai buat kerja.