Skip to content

Adakah SPRM berani menyiasat Perdana Menteri?

Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam adalah benar apabila beliau berkata bahawa wakil rakyat yang melompat parti telah digoda dengan politik wang dan telah melakukan penghinaan terhadap politik tanah air. Beliau berkata bahawa kini tidak lagi tentang politik atau ideologi, tetapi tentang ideologi wang di mana habuannya tidak lagi sedikit seperti masa lalu.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong yang telah melompat parti dari PKR untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akhirnya mengaku bahawa Muhyiddin telah menjanjikan satu jawatan rasmi yang akan memberikan platform kepadanya untuk membina semula ekonomi negara. Tidakkah ini satu umpan habuan untuk Steven Choong melompat parti?

Ini mengingatkan kita tentang rakaman audio Muhyiddin tahun lepas, menawarkan jawatan politik dan jawatan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik. Ahli Parlimen Gua Musang dari UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah telah mendedahkan bahawa beliau menolak tawaran oleh Perdana Menteri untuk menjadi Pengerusi Petronas kerana tindakan tersebut melanggar perlembagaan. Sebaliknya, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang juga dari UMNO tidak menolak pelantikan sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuktikan bahawa ia bebas, berkecuali, profesional dan patuh kepada kedaulatan undang-undang dengan menyiasat Perdana Menteri? Sekurang-kurangnya, SPRM perlu menyatakan secara terbuka bahawa melompat parti kerana politik wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu amalan rasuah.

Ironinya, Perdana Menteri telah menjadikan pencegahan rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan. Namun hakikat sebenar tidak menyebelahi retorika Muhyiddin. Dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2020, Malaysia telah merosot 6 anak tangga ke kedudukan 57 berbanding no. 62 pada 2017, 61 pada 2018 dan 51 pada 2019.

Jelas bahawa kurangnya penekanan terhadap tender terbuka dan ketelusan, pelantikan orang politik menggantikan ahli profesional dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan sebagai pertukaran untuk sokongan politik, penarikan pertuduhan jenayah terhadap pemimpin politik yang menyokong kerajaan PN, menggunakan jawatan kerajaan untuk membeli sokongan politik, serta penyiasatan dan pendakwaan terpilih ahli politik telah dikenalpasti sebagai sebab utama kemerosotan tersebut. Dengan SPRM yang dilihat sebagai memandang enteng kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International, tidak mengejutkan jika kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut akan merudum lagi pada tahun ini.