Kerajaan Barisan Nasional sekali lagi meluluskan tambahan permit perjudian kepada syarikat-syarikat nombor ramalan (Numbers Forecast Operators). Untuk tahun 2014, kerajaan telah meluluskan 22 permit Cabutan Khas (Special Draw) kepada setiap syarikat NFO di Semenanjung Malaysia iaitu Magnum, Damacai dan Sports Toto.
Ini melibatkan 22 hari Selasa sepanjang tahun 2014 (tarikh seperti dalam lampiran) di mana ketiga-tiga syarikat perjudian ini akan mengadakan Cabutan Khas. Ini bermaksud terdapat tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia untuk tahun ini sahaja. Untuk Sabah dan Sarawak, jumlah cabutan adalah lebih banyak kerana terdapat 3 lagi syarikat perjudian NFO yang hanya beroperasi di Sabah dan Sarawak.
Ini tidak termasuk hari-hari cabutan yang tetap iaitu hari Rabu, Sabtu dan Ahad pada setiap minggu. Kalau dijumlahkan sepanjang tahun 2014, jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor ialah 178 hari (52 minggu x 3 hari dan tambah dengan 22 hari cabutan khas). Secara puratanya, terdapat perjudian cabutan nombor ekor setiap 2 hari di Malaysia!
Persoalannya ialah adakah tambahan permit Cabutan Khas ini merupakan salah satu langkah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menambah hasil cukai negara? Tahun demi tahun, permit Cabutan Khas ini ditambah walaupun telah dibantah berkali-kali oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk saya dalam sidang Dewan Rakyat.
Saya tetap membantah penambahan permit Cabutan Khas sebanyak 22 hari pada tahun ini kerana 3 kali cabutan setiap minggu pada ketika ini pun sudah amat keterlaluan. Ia sepatutnya dikurangkan dan bukannya ditambah!
Apakah Kerajaan Barisan Nasional sudah ketandusan idea untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara sehingga ke tahap menggalakkan rakyat lebih banyak berjudi supaya kerajaan dapat mengutip lebih banyak cukai perjudian?
Saya tidak melihat ada apa-apa rasional lain untuk kerajaan meluluskan lebih banyak permit perjudian kepada syarikat-syarikat nombor ramalan ini. Mengikut jawapan bertulis yang saya terima dari Menteri Kewangan pada sidang Parlimen bulan September 2013, jumlah kutipan cukai cabutan khas atau “Special Draw” sahaja bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 adalah RM70.8 juta!
Ini bermaksud, anggaran cukai pertaruhan daripada tambahan cabutan khas pada tahun ini mencecah RM150 juta! Walaupun ini kelihatan sebagai peningkatan hasil kepada kerajaan, tetapi kos kepada rakyat Malaysia ialah lebih banyak wang akan kehilangan dalam perjudian. Kos sosial seperti peningkatan kes hutang Ah Long dan kesan-kesan buruknya amatlah besar kepada masyarakat kita.
Nilai kutipan cukai pertaruhan sebenarnya adalah amat besar di negara kita. Mengikut satu lagi jawapan Parlimen yang saya terima pada 31 Oktober 2013, jumlah cukai pertaruhan daripada 6 syarikat operator nombor ramalan bagi tahun 2008 hingga 2012 ialah sejumlah RM6.3 billion (lihat lampiran)!
Secara puratanya, kerajaan mengutip RM1.26 billion setiap tahun daripada perjudian nombor ramalan. Ini tidak termasuk cukai perjudian daripada kasino di Genting Highlands dan mesin slot di kelab-kelab persatuan dan syarikat persendirian.
Untuk mesin slot, cukai yang dikutip oleh kerajaan ialah RM73.6 juta pada tahun 2010, RM77.3 juta pada tahun 2011 dan RM82.4 juta pada tahun 2012.
Jelas daripada jawapan rasmi Parlimen bahawa setiap tahun lebih satu billion ringgit dalam bentuk cukai perjudian dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Semua cukai ini dimasukkan dalam Akaun Hasil Disatukan bersama-sama dengan hasil cukai yang lain dan wang ini diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kerajaan Persekutuan.
Pakatan Rakyat pernah mencadangkan di Parlimen supaya hasil cukai perjudian ini atau dikenali sebagai “sin tax” diasingkan dalam satu akaun hasil khas yang lain untuk menjaga sensitiviti rakyat yang beragama Islam.
Hasil daripada cukai perjudian ini sepatutnya disalurkan untuk tujuan peruntukan untuk masyarakat bukan Islam seperti sekolah-sekolah vernakular, badan-badan kebudayaan dan sosial dan lain-lain secara telus. Pada ketika ini, langsung tidak ada ketelusan bagaimana hasil cukai perjudian disalurkan dan dibelanjakan.
Saya mendesak Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak segera membatalkan semua permit tambahan Cabutan Khas untuk membuktikan bahawa kerajaan bukan bergantung kepada aktiviti perjudian untuk menambah hasil cukai.
Yang kedua, Datuk Seri Najib perlu membuat pindaan terhadap tatacara kewangan kerajaan dengan mengasingkan semua hasil cukai perjudian dalam satu akaun khas dan menyalurkan hasil tersebut untuk perbelanjaan yang tertentu sahaja yang tidak melibatkan masyarakat Islam.