Skip to content

Adakah Wee Jeck Seng setuju dengan pendirian UMNO yang melihat peruntukan pendidikan dari sudut perkauman?

Saya langsung tidak hairan sekiranya pemimpin Barisan Nasional melihat isu-isu negara melalui kaca mata perkauman. Saya hanya minta agar kedua-dua parti komponen BN, iaitu UMNO dan MCA, bincanglah terlebih dahulu sebelum mereka mahu memberi kritik terhadap belanjawan berasas retorik perkauman.

Semalam, ahli parlimen Jasin Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Hamzah membangkitkan isu peruntukan pendidikan dalam perbahasan Belanjawan 2020 peringkat jawatankuasa. Beliau berkata, sekolah venakular iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) menerima peruntukan yang lebih banyak berbanding jumlah peruntukan setiap sekolah. Justeru, dia berkata bahawa ini adalah satu dasar yang tidak adil.

Ini bukan kali pertama ahli parlimen parti UMNO melihat peruntukan pendidikan untuk tahun depan dengan lensa perkauman. Pada hari pertama perbahasan Belanjawan 2020, ketua pembangkang Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob pun telah menggunakan retorik yang sama dengan ahli parlimen Jasin itu.

Menurut retorik perkauman UMNO, peruntukan ini berat sebelah berpihak kepada komuniti bukan Melayu kerana setiap sekolah SJKC dan SJKT menerima lebih banyak peruntukan berbanding sekolah kebangsaan. Malah, peruntukan diberikan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Sebaliknya, pemimpin MCA menghentam Belanjawan 2020 kerana dikatakan tidak mengambil berat pendidikan bagi komuniti Cina. Senator MCA Ong Chong Swen mengkritik Kerajaan Harapan kerana sebanyak RM6.23 bilion diperuntukkan untuk institusi pendidikan bumiputera seperti MARA dan sebagainya. Mengikut pandangan Ong ini pula, kerajaan Harapan tidak adil kerana lebih berpihak kepada institusi pendidikan bumiputera berbanding kerajaan BN.

Malah, dia menyatakan bahawa jumlah peruntukan pendidikan bagi komuniti cina untuk tahun 2020 menurun RM2.5 juta berbanding tahun 2019. Senator MCA ini memuat naik tiga gambar pada 12hb Oktober dan menghentam habis-habisan Belanjawan 2020.

Soalan di sini jelas, adakah Kerajaan Harapan berat sebelah komuniti Melayu-Bumiputera kerana institusi pendidikan bumiputera menerima jumlah peruntukan jauh lebih tinggi seperti dinyatakan dalam retorik MCA, ataupun Kerajaan Harapan berat sebelah berpihak kepada komuniti bukan Melayu kerana agihan peruntukan setiap sekolah vernakular lebih tinggi berbanding sekolah kebangsaan mengikut retorik UMNO?

Kedua-dua analisa belanjawan 2020 yang setiap satunya hanya melihat kepada sebahagian fakta telah membukti bahawa Belanjawan 2020 menjaga semua komuniti. Namun UMNO dan MCA asyik memainkan sentimen perkauman serta memberi gambaran tidak penuh yang mengelirukan rakyat kerana mereka langsung tiada modal politik lagi.

Soalan saya kepada calon MCA Tanjung Piai, adakah beliau menyokong pandangan pemimpin parti dia ataupun pemimpin UMNO dalam isu peruntukan pendidikan? Adakah Wee Jeck Seng setuju dengan pendirian UMNO bahawa komuniti bukan Melayu lebih untung dalam peruntukan pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan?