Skip to content

Adalah menjadi satu kesalahan jenayah untuk menghalang siasatan oleh SPRM di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009

Adalah menjadi satu kesalahan jenayah untuk menghalang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009.

Siri tangkapan terhadap pengawai-pegawai SPRM oleh pihak polis nyata telah mengganggu kelicinan proses siasatan yang sedang dijalankan ke atas SRC International Sdn Bhd, sebuah bekas anak syarikat 1MDB yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012, setelah mendapat pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) satu tahun sebelumnya.

Saya hairan kenapa tidak ada seorang pun menteri yang menggesa pihak polis untuk membiarkan SPRM menyelesaikan siasatannya, sepertimana mereka seringkali menyuruh supaya kita rakyat Malaysia menanti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) ke atas 1MDB, selesai.

Sekiranya pihak polis meneruskan siri tangkapan dan gangguan terhadap SPRM, saya ingin mengajak orang ramai untuk mengemukakan aduan kepada pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara bagi menggesa SPRM menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM bagi menangkap anggota polis yang membabit kerana mengganggu siasatan adalah satu kesalahan jenayah.

Bukankah baik sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi peluang kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan mereka tanpa diganggu. Sepertimana Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan semalam meminta orang ramai memberi peluang kepada Perdana Menteri.