Skip to content

Adalah tidak bertanggungjawab bagi Perdana Menteri untuk tidak menghiraukan kebimbangan kesihatan berkaitan COVID-19 dan menggunakan pilihan raya umum sebagai umpan untuk mendorong UMNO berusaha lebih keras menang dalam pilihan raya negeri Sabah

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin begitu terdesak bagi pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) -BN-PBS yang kini ranap dan rapuh dan sukar untuk memenangi pilihan raya negeri Sabah yang akan datang, dengan menjanjikan pilihan raya umum segera dalam negara sekiranya mereka berjaya. Bagi Muhyiddin untuk tidak menghiraukan kebimbangan kesihatan berkaitan COVID-19 dan menggunakan pilihan raya umum sebagai umpan, untuk mendorong UMNO bekerja lebih keras untuk menang dalam pilihan raya negeri Sabah, adalah tidak bertanggungjawab dan tidak bersifat seorang Perdana Menteri.

Perdana Menteri tidak seharusnya membahayakan kepentingan dan keselamatan awam semata-mata untuk memenuhi kepentingan politiknya. Tiada keperluan membubarkan Parlimen dan memanggil piliharaya segera ketika blok pembangkang yang terdiri daripada 109 Ahli Parlimen (AP) tidak mahu membahayakan kesihatan dan keselamatan awam kerana peningkatan jumlah kes COVID-19 kebelakangan ini. Banyak negara di dunia, termasuklah yang terbaru adalah Britain, menghadapi gelombang kedua jangkitan COVID-19 dan Malaysia juga mungkin akan terjejas sama.

Pilihan raya negeri Sabah telah dipaksa ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, berikutan percubaan khianat oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan disokong oleh Muhyiddin, untuk membentuk kerajaan negeri pintu belakang melalui katak-katak politik yang melompat kerana kepentingan peribadi. Untuk melindungi mandat rakyat dan hak mereka untuk memilih siapa yang akan membentuk kerajaan negeri Sabah dan bukannya katak politik, Shafie tiada pilihan selain membubarkan Dewan Undangan Negeri dan memanggil pilihan raya.

Satu-satunya parti politik yang mahukan pilihan raya umum awal di Malaysia, adalah Muafakat Nasional (PAS dan UMNO) yang merupakan sebahagian daripada blok 113 Ahli Parlimen kerajaan. Namun, perkara ini sebelumnya ditolak oleh Muhyiddin kerana kecurigaannya yang tinggi terhadap UMNO untuk terus menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri. Kelemahan politik Muhyiddin terbukti dengan kemampuannya mendapatkan sokongan hanya 111 AP berbanding 109 AP di blok pembangkang.

GRS kekal berpecah dan tidak bersatu kerana kegagalan mereka untuk menyetujui calon Ketua Menteri Sabah dan saling bertembung di 18 kerusi DUN. Tindakan Muhyiddin mengagihkan wang dan menjanjikan projek semasa pilihan raya negeri Sabah tidak memberikan kesan yang diinginkan, kerana dia tidak dapat mengatasi perbalahan dalam GRS yang berpecah belah.

Meletakkan poster Muhyiddin untuk melawan poster Shafie hanya menunjukkan GRS tiada calon Ketua Menteri yang berkelayakan. Mesej yang jelas di sini adalah bahawa Ketua Menteri Sabah akan dilantik oleh Muhyiddin, berbanding dengan Shafie yang dipilih oleh pengundi Sabah untuk menjadi Ketua Menteri mereka.

Sebaliknya, gabungan Warisan Plus daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah telah menunjukkan perpaduan dan kemuafakatan yang luar biasa di bawah kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal. Bagaimana orang Sabah boleh yakin untuk menyokong GRS dan Muhyiddin ketika keduanya tidak dapat memberikan kestabilan politik yang diperlukan dalam kerajaan negeri Sabah yang akan datang?

Akhir sekali, janji-janji pilihan raya Muhyiddin kepada orang-orang Sabah seperti omongan kosong apabila dia masih belum melaksanakan janjinya yang dibuat di Sandakan pada 30 Ogos untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penerima yang memerlukan, daripada RM200 dan RM300 kepada RM1,000. Kenaikan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebulan ini sangat diperlukan berikutan pengakuan oleh Menteri Sumber Manusia bahawa jumlah pengangguran akan meningkat ke tahap tertinggi yang berjumlah 1 juta pekerja pada akhir September.