ADUN Astaka YB Jason Ng Thien Yeong mengkritik ugutan PERKASA untuk memboikot Petronas seminggu kerana ia melantik syarikat bukan Bumiputera untuk kontrak pemasangan panel solar. Kerajaan harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan bermotif menghasut hubungan perkauman.
- Kenyataan Presiden PERKASA Syed Hasan Syed Ali bukan sahaja berbau perkauman tetapi juga melanggar model pasaran Malaysia yang mengamalkan persaingan bebas dan adil. Kenyataan ini telahpun menjejaskan keyakinan syarikat dan pelaburan asing terhadap pasaran negara kita.
- Ugutan bahawa Petronas perlu memberi 50% daripada projek pemasangan sistem tenaga solar kepada syarikat Melayu dan Bumiputera ataupun menghadapi boikot selama minggu itu adalah berasaskan sentimen kaum dan bukannya berasaskan kemampuan sesebuah syarikat.
- Syarikat Solarvest yang telah diberi kontrak pemasangan panel solar oleh Petronas adalah sebuah syarikat awam tersenarai yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan tenaga baharu. Kepakaran mereka bukan sahaja membolehkan mereka mendapat kontrak daripada Petronas, tetapi juga mempunyai projek-projek penjanaan tenaga solar yang lain termasuk dengan Tenaga Nasional Berhad.
- Jika cadangan keterlaluan dan regresif PERKASA itu diterima, maka syarikat dan pelabur asing akan hilang keyakinan terhadap pasaran Malaysia.
- Ugutan Perkasa untuk memboikot Petronas selama seminggu adalah cubaan untuk mencari populariti dan mengaut ‘political mileage’ mengikut trend “boikot” yang semakin serius di negara kita. Mujurlah cadangan ini telah ditolak oleh Petronas dan kebanyakan rakyat Malaysia yang lain.
- Saya menghargai Petronas yang telah mengeluarkan kenyataan tegas dengan menyatakan bahawa pemberian kontrak adalah berdasarkan merit dan tidak akur dengan ugutan PERKASA.
- Malah, majoriti rakyat Malaysia turut menolak cadangan tersebut dan membuktikan amalan perkauman yang ekstrim masih ditolak di dalam negara kita.
- Saya menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menghasut hubungan kaum bagi mengelakkan masyarakat majmuk Malaysia yang asalnya harmoni dan aman dimusnahkan oleh golongan ekstrim ini.