Malaysia merupakan sebuah negara yang berteraskan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
Serangan bom petrol merupakan perbuatan jenayah yang serius. Di bawah Seksyen 436 Kanun Kesesksaan, sesiapa yang melakukan khianat dengan api atau apa-apa benda letupan ke atas kediaman orang lain boeh dijatuhi hukuman sehingga 20 tahun penjara. Semasa berlakunya insiden pada awal pagi 2.30am ini, nasib baik kebetulan ada orang awam yang lalu di tempat kejadian dan membangunkan Ahli Parlimen Beruas yang telah tertidur dan mengelakkan musibah yang lagi serius. Sekiranya tidak, perbuatan ini akan menyalahi undang-undang yang lebih serius dengan hukuman yang lebih padah.
YB Dato’ Ngeh Koo Ham merupakan seorang wakil rakyat dan penggubal undang-undang yang mempunyai tanggungjawab dan hak beliau dalam menzahirkan pandangannya untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi rakyat Malaysia. Sebagai sebuah negara yang berteraskan Kedaulatan Undang-Undang atau ‘Rule of Law’, mesikipun ada pihak yang boleh tidak bersetuju dengan pandangan yang dizahirkan, namun kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak melakukan tindakan balasan yang menyalahi undang-undang kerana tidak bersetuju dengan pendapat seseorang.
Saya menyeru Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri untuk memandang serius terhadap kes serangan ini terutamanya insiden ini mungkin menjadi pencetus kepada insiden-insiden yang lain. Oleh itu, Kerajaan mesti memberi amaran yang tegas kepada semua pihak agar tidak melakukan apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang atau mengeluarkan kenyataan yang berunsur hasutan.