Pada 13 Ogos 2021, lidah parti PAS; Harakahdaily melaporkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu – yang dianggotai PAS; bercadang untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri untuk dua penggal sahaja. Muhyiddin menyampaikan pengumuman tersebut dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di seluruh saluran media arus perdana.
Mungkin pada ketika itu, Afnan sedang dibuai lena. Atau mungkin Afnan antara operator parti PAS yang terpaksa berdiam diri walaupun tidak bersetuju dengan cadangan terbabit ketika itu.
Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri adalah satu langkah perlu untuk memastikan mana-mana individu tidak diberikan kuasa melampau. Ia merupakan suatu langkah semak imbang yang perlu dalam proses demokrasi yang sihat supaya kuasa dan pengaruh tidak dipusatkan kepada mana-mana individu dan kawan-kawannya sahaja.
Hal ini telah dilaksanakan di Pulau Pinang melalui pindaan perlembagaan negeri pada tahun 2018, selari dengan ucapan Tun Dr Mahathir ketika membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat.
Ini bukan perkara baru yang menjadi agenda minoriti untuk mengawal majoriti seperti yang diungkapkan dengan begitu dangkal sekali oleh Afnan. Apa masalah Afnan untuk memahami bahasa Melayu yang begitu mudah, sehingga terpaksa bersilat kata dan memutarbelit agenda transformasi yang begitu baik menjadi sesuatu yang sarat dengan bahasa perkauman?
Adakah Afnan dan Pemuda PAS begitu kontang idea sehingga benda begini pun mahu dijadikan isu perkauman pada bulan Ramadan yang mulia ini? Begitu rendah sekali kah nilai pemikiran masyarakat Melayu di mata Afnan dan Pemuda PAS?
Jawatan perdana menteri adalah amanah yang dipikul daripada mandat rakyat Malaysia, dan ia bukan keistimewaan yang boleh dijadikan habuan tidak berkesudahan sehingga ke hujung nyawa. Afnan perlu segera sedar hal ini ketimbang memperlihatkan kedangkalannya kepada orang ramai dan memalukan diri sendiri.