Skip to content

Agensi mengatasnamakan Islam sebagai jalan halal melakukan penyelewengan?

Semalam, negara dikejutkan dengan lagi satu pembongkaran penyelewengan yang membabitkan institusi agama. Menurut maklumat yang didedahkan oleh National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW), terdapat kepincangan dalam Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), sebuah badan di bawah Jabatan Perdana Menteri, apabila pengerusi, timbalan pengerusi serta sanak saudara mereka membolot 26 jawatan dengan jumlah gaji sebanyak RM154,700 sebulan.

Pengerusi YaPEIM, Datuk Haji Abdul Malek Awang Kechil, dikatakan memperoleh pendapatan sehingga RM73,000 sebulan dengan memegang 11 jawatan, manakala Timbalan Pengerusinya, Datuk Hajah Siti Zaleha Hussin, yang dikenalpasti sebagai Ketua Wanita Umno dari Kelantan, pula didakwa menikmati gaji sebanyak RM45,500 daripada tujuh jawatan yang disandangnya. Sementara itu, anak Zaleha juga menerima habuan dengan gaji sebanyak RM31,200 sebulan, dan suaminya pula dilantik sebagai felo dengan gaji RM5,000 sebulan. Ini bermaksud bahawa keluarga Zaleha sahaja mendapat manfaat besar daripada YaPEIM dengan penggajian sebanyak RM81,700 sebulan.

Jika benar, penyalahgunaan dana sebuah institusi agama yang mengutip derma daripada 588,930 pencarum bulanan ini adalah perbuatan keji yang wajib dikutuk keras, khususnya apabila ia seolah-olah mengatasnamakan Islam sebagai jalan halal melakukan penyelewengan.

Pendedahan NOW ini merupakan satu lagi daripada sekian banyak bukti bagaimana dana awam di negara ini diselewengkan bagi tujuan politik naungan (political patronage). Malah, NOW juga pernah mendedahkan bagaimana dana sebanyak RM223,000 telah digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Rompin pada bulan April lalu, apabila duit itu diserahkan secara terus kepada Zaleha.

Lebih penting lagi, pendedahan ini membuktikan kecenderungan agensi kerajaan disalahgunakan bagi kepentingan individu. Tambah malang lagi apabila agensi ini merupakan yayasan yang dimandatkan untuk membantu orang Islam di negara ini, dan sebahagian daripada wang dananya berpunca daripada sumbangan orang ramai.

Pendedahan ini mengingatkan kita kepada kes penggunaan duit Lembaga Tabung Haji untuk membeli sebidang tanah pada harga RM188.5 juta daripada syarikat 1MDB yang ditimbuni hutang, lantas memberikan keuntungan atas angin sebanyak RM184 juta kepada 1MDB. Sebelum itu, Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain pernah didakwa menggunakan wang zakat Wilayah Persekutuan untuk membiayai kos guaman mereka.

Saya percaya, jika semua agensi dan yayasan yang serupa disiasat, lebih banyak lagi penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa akan dijumpai. Maka, tidak hairanlah apabila betapa banyak sekalipun institusi atas nama Islam ditubuhkan bagi membantu Muslim di negara ini, umat Islam di negara ini tetap tidak terbela.

Jelas, nama agama Islam di negara ini sering dicemari oleh institusi dan agensi agama yang bukan sahaja menyeleweng dana dan tidak menjaga kebajikan umat, malah lebih berminat untuk mengawal moral masyarakat atau menganjurkan program “keagamaan” semata-mata.

Bukankah lebih baik jika segala tenaga dan sumber digunakan bagi menangani jurang pendapatan, kemiskinan kota dan lain-lain isu sosio-ekonomi yang merupakan pokok kepada permasalahan sosial? Lagipun, bukankah kemiskinan itu yang sebenarnya menghampirkan orang dengan kekufuran, sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Nabi?

Justeru, Kerajaan bukan sahaja harus menjelaskan dakwaan penyelewengan YaPEIM ini, tetapi juga harus segera merombak semula pengurusannya agar yayasan tersebut boleh diurus secara profesional dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkannya dengan baik, dan bukan menjadi sumber habuan dan naungan politik semata-mata.