Selepas genap dua tahun menggalas amanah sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin menegaskan bahawa kemampanan jangka panjang sektor agrikomoditi negara sentiasa menjadi teras dan keutamaan utama sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Pendekatan yang digerakkan adalah berteraskan rakyat, khususnya pekebun kecil yang menjadi nadi kepada pengeluaran komoditi negara, dengan matlamat memastikan pertumbuhan ekonomi sektor agrikomoditi dapat dinikmati secara lebih saksama, inklusif dan berdaya tahan, katanya.
“Sektor agrikomoditi bukan sekadar penyumbang ekonomi negara, malah merupakan sumber kehidupan jutaan rakyat. Justeru, keutamaan saya adalah memastikan dasar dan pelaksanaan yang digerakkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan di akar umbi,” ujar beliau.
Sepanjang tempoh ini, penekanan berterusan telah diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, kecekapan pelaksanaan, pemerkasaan rantaian nilai serta pembangunan mampan, selari dengan hala tuju strategik KPK dan aspirasi Kerajaan MADANI.
Datuk Chan Foong Hin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta seluruh warga KPK atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama erat yang telah terjalin sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
“Saya amat menghargai peluang untuk berkhidmat bersama pasukan KPK yang komited dan profesional. Segala pencapaian yang direkodkan adalah hasil kerja berpasukan serta dukungan berterusan semua pihak,” katanya.
Beliau menyatakan keyakinan penuh bahawa di bawah saf kepimpinan baharu KPK, sektor agrikomoditi negara akan terus dipelihara, diperkukuh dan dimartabatkan ke arah masa depan yang lebih mampan, berdaya saing dan memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat serta negara.
PENCAPAIAN UTAMA SEPANJANG TEMPOH PERKHIDMATAN
Sabah Penerima Tertinggi Skim TSPKS 2.0
Sabah telah muncul sebagai negeri penerima tertinggi di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0). Pada tahun 2024, Sabah menerima peruntukan berjumlah RM41.07 juta daripada keseluruhan RM100 juta yang diperuntukkan Kerajaan. Bagi tahun 2025 pula, sehingga Oktober 2025, Sabah kekal sebagai penerima tertinggi dengan peruntukan sebanyak RM61.56 juta.
TSPKS 2.0 merupakan skim geran padanan mudah yang disediakan Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) khusus untuk pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman di bawah 10 hektar. Skim ini menawarkan fleksibiliti pembayaran semula yang hanya bermula pada tahun kelima selepas penerimaan, sekali gus memberi ruang dan tempoh pemulihan yang lebih baik kepada pekebun kecil.
Sebanyak sembilan siri jelajah bersama MPOB telah dilaksanakan di seluruh Sabah pada tahun 2025, merangkumi Tawau, Sandakan, Kudat, Pitas, Pensiangan, Keningau dan Tenom, bagi menggalakkan kadar tanam semula sawit serta meningkatkan kesedaran terhadap bantuan Kerajaan yang disediakan.
Sabah Penerima Tertinggi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK)
Bagi menyokong aktiviti penanaman semula serta meningkatkan kecekapan pemasaran hasil sawit, Kerajaan MADANI telah melaksanakan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) bagi menambah baik akses ke ladang-ladang sawit persendirian.
Sepanjang tempoh pelaksanaan dari tahun 2023 hingga 2025, Sabah menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM15 juta, iaitu sebanyak 61.08 peratus daripada keseluruhan peruntukan Kerajaan. Bagi tahun 2023 dan 2024, sepanjang 52.09 kilometer jalan ladang telah berjaya dilaksanakan di Sabah, mewakili 66.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaksanaan nasional.
Memperluas Pasaran Produk Sawit Bernilai Tinggi ke China
Usaha memperkukuh nilai tambah industri sawit turut diterjemahkan melalui pemerkasaan pemasaran produk sawit bernilai tinggi dari Sabah ke pasaran China. Kerjasama strategik telah dijalin antara syarikat tempatan dan rakan perdagangan China bagi membuka pasaran produk berasaskan sawit seperti tokotrienol.
Pada Mei 2025, inisiatif Diplomasi Hotpot telah diperkenalkan, mempromosikan penggunaan minyak sawit sebagai pengganti lemak lembu dalam hotpot mala Sichuan. Melalui PORTSIM, kerjasama penyelidikan dan pembangunan bersama Shanghai Jiao Tong University dan Zhangbingbing Biotechnology Holdings Co., Ltd. telah dimeterai bagi membangunkan pengganti lemak berasaskan tumbuhan menggunakan stearin sawit dan pecahan pertengahan minyak sawit.
Inisiatif ini menonjolkan peranan strategik PORTSIM dalam memanfaatkan inovasi saintifik bagi mengembangkan penggunaan minyak sawit Malaysia dalam landskap kulinari China.
Pada Disember 2025, Datuk Chan Foong Hin turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan China di Guangzhou, melibatkan kerjasama pembangunan teknologi kesihatan pemakanan termasuk tokotrienol. Kerjasama ini mencerminkan kemajuan baharu dalam bidang teknologi minyak, lipid fungsian serta pemprosesan hiliran bernilai tinggi.
Selain itu, beliau telah merasmikan Forum “Innovating Health with Palm: From Science to Market” anjuran MPOB serta menghadiri pelbagai platform strategik industri minyak dan lemak di China, sekali gus memperkukuh ekosistem kerjasama penyelidikan dan komersialisasi antara Malaysia dan China.
Pemulihan Industri Koko di Sabah
Kerajaan Persekutuan, melalui KPK, telah melaksanakan Program Pemulihan Kebun Koko di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada, yang memberi manfaat kepada 2,084 orang petani. Program ini menawarkan insentif dianggarkan antara RM3,500 hingga RM4,000 sehektar bagi tempoh tiga tahun dari 2024 hingga 2026.
Selain itu, Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan turut dilaksanakan dari tahun 2025 hingga 2030 dengan peruntukan sebanyak RM550,000 setahun, melibatkan pemberian anak benih koko berkualiti tinggi kepada pengusaha ladang.
Penganjuran Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 24 hingga 27 Mei 2025 telah mencatatkan nilai transaksi jualan keseluruhan sebanyak RM355 juta.
Program ini merangkumi pameran jualan, padanan perniagaan, program sumber antarabangsa secara maya dengan kerjasama MATRADE serta jualan secara penstriman langsung. Seramai lapan usahawan koko dari Sabah berjaya mencatatkan jualan langsung melebihi RM200,000 sepanjang penganjuran MICF.