Ahli-ahli Pas di Negeri Pulau Pinang harus diarahkan meletak jawatan yang dilantik di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan segera jikalau kononnya Kerajaan Negeri DAP-PKR akan tumbang tanpa sokongan ahli-ahli Pas.
Pas Kuala Terengganu melalui Ketua Penerangannya Ahmad Amzad mencabar DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang untuk membuktikan DAP boleh menang tanpa sokongan ahli-ahli Pas.
Katanya, DAP tidak akan mampu membentuk kerajaan sendiri jika tiada bantuan dan sokongan Pas. Akan tetapi, beliau menasihatkan ahli-ahli Pas di Pulau Pinang yang memegang pelbagai jawatan di bawah Kerajaan Negeri supaya tidak meletak jawatan.
Saya ingin bertanyakan Ahmad Amzad, mengapakah ahli-ahli Pas di Pulau Pinang perlu dihalang untuk meletak jawatan jikalau beliau ingin melihatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tumbang yang kononnya akan berlaku jikalau tanpa sokongan ahli-ahli Pas? Ke mana perginya maruah parti lagi?
Cubalah tanya diri sendiri, berapakah kerusi yang dimenangi oleh Pas selama ini? Dalam PRU tahun 1999, 2004, 2008, 2013, semuanya satu kerusi sahaja di DUN Permatang Pasir yang sebelum ini dimenangi oleh Mohd Hamdan Abdul Rahman dan kini pula diterajui oleh Salleh Man.
Pada 8 Mac 2008, DAP dengan 19 kerusi dan 9 kerusi yang dimenangi PKR, sudah terbentuknya Kerajaan Negeri campuran DAP dan PKR, tanpa perlunya Pas. Pada 5 Mei 2013, DAP kekal 19 kerusi, kerusi PKR ditingkatkan daripada 9 kepada 10 menjadikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh DAP dan PKR sudah mencecah 29 kerusi.
Jikalau bukannya Pas meletakkan calon ketiga untuk bertanding di DUN Sungai Acheh, sudah pastinya DUN Sungai Acheh dapat dimenangi oleh Badrul Hisham Shahrul (Chegubard) dalam PRU ke-13.
Kita DAP bukan nak bercakap sombong. Kita DAP bukan nak bersikap angkuh. Kita DAP hanya bercakap fakta dan angka sahaja. Akan tetapi, ada pihak yang cuba mengagung-agungkan diri sehingga sanggup membelakangkan rakan-rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, demi tujuan mendekatkan lagi diri dengan UMNO. Adakah ini lagi dikenali sebagai semangat Pakatan Rakyat?
Jawablah sendiri, Ketua Penerangan Pas Kuala Terengganu yang cakap tak serupa bikin! Jangan hanya asyik mencabar DAP untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meskipun dengan hanya satu kerusi yang dimenangi oleh Pas di Pulau Pinang.
Adakah cabaran yang sama juga akan ditujukan kepada Dewan Undangan Negeri Selangor, di mana terdapat 3 ahli MMK yang dilantik dari Pas dan 15 kerusi DUN yang diterajui oleh Pas?
Maka, adalah lebih nyata untuk Pas membuktikan pengaruh politiknyanya serta sokongan rakyat terhadap Pas di Selangor jikalau pilihan raya negeri Selangor perlu diadakan setelah Kerajaan Negeri Selangor ditumbangkan oleh Pas sendiri.