Skip to content

Ahli Dewan Negeri DUN Astaka, Perak merangkap Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, YB JASON NG THIEN YEONG hari ini membidas kenyataan YB Dr Akmal Saleh yang mengkritik YB Anthony Loke sebagai sombong dan menasihati YB Dr Akmal Saleh supaya melihat ke dalam cermin sebelum mengkritik orang lain.

Baru-baru ini, ketika ditanya oleh wartawan, Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke menjawab bahawa beliau lebih memberi tumpuan kepada kerja yang lebih penting seperti melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan meningkatkan ekonomi., berbanding dengan mengambil masa untuk membalas kenyataan dan kritikan Ketua Pemuda UMNO, YB Dr Akmal Saleh.

Kami setuju bahawa YB Anthony Loke harus tumpukan tugas sebagai seorang Menteri dan biarlah kami sebagai pemimpin DAPSY untuk membalas Ketua Pemuda UMNO.

Sebagai anggota kerajaan, kita mempunyai peranan dan tugas sebagai ahli kerajaan, manakala sebagai pembangkang mereka juga mempunyai tugas mereka sendiri. Sebagai seorang menteri kabinet, YB Anthony Loke adalah sangat tepat di mana beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas beliau sebagai seorang Menteri dalam merangka dasar pengangkutan yang lebih baik untuk negara kita dan bukan mengikut retorik seorang individu yang tidak tahu kedudukannya seperti Dr Akmal Saleh.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO dalam sebuah parti memerintah serta sebagai seorang EXCO di Melaka, YB Dr Akmal Saleh sepatutnya bertindak lebih matang dan rasional dalam berpolitik dan mengemukakan dasar yang membina dalam bidang tugasnya. Sebaliknya, beliau lebih suka bersekongkol dengan ahli pembangkang dan mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar terhadap menteri kabinet Kerajaan Perpaduan serta merendahkan pemimpin rakan parti.

Saya menasihati YB Dr Akmal Saleh, sebelum mengkritik pemimpin lain sebagai sombong, sila melihat ke dalam cermin kerana YB Anthony Loke sebagai seorang menteri dan pemimpin politik yang berpengalaman sedang memberi teladan di mana yang baik harus memberi tumpuan kepada tugas hakiki seseorang anggota pentadbiran. YB Dr Akmal Saleh merupakan ahli EXCO yang bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar, pertanian dan keterjaminan makanan di Melaka, namun jarang sekali kita mendengar beliau mengemukakan pandangan yang konstruktif berkenaan dengan tugas beliau.

Oleh itu, jika beliau tidak berminat untuk menjalankan tugas sebagai EXCO Melaka dan sebaliknya hanya ingin meraih publisiti politik murah dengan mengkritik pemimpin rakan parti, lebih baik beliau menarik diri dari kerajaan dan menjadi seorang ahli dewan ‘backbencher’.