Skip to content

Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau dinasihatkan supaya menumpukan perhatian kepada isu yang mementingkan rakyat seperti harga barang keperluan asas yang naik melambung tinggi pada masa ini, bukannya taksub dengan pakaian yang dipakai oleh pemimpin wanita DAP ketika mengunjungi masjid atau tempat ibadat

Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau dinasihatkan supaya menumpukan perhatian kepada isu yang mementingkan rakyat seperti harga barang keperluan asas yang naik melambung tinggi pada masa ini, bukannya taksub dengan pakaian yang dipakai oleh pemimpin wanita DAP ketika mengunjungi masjid atau tempat ibadat. Bagi seorang pemimpin lelaki DAP memperbesarkan isu tentang pakaian yang sesuai dipakai oleh Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh ketika melawat masjid tidak berbeza dengan pemimpin PAS yang ekstremis dan ketinggalan zaman yang mahu mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dipakai oleh wanita.

Ini bukan sahaja tidak sensitif gender tetapi juga menunjukkan bahawa kita juga tidak bertolak ansur dan regresif seperti pemimpin ekstremis PAS. Hannah tidak melakukan sebarang kesalahan dan sepatutnya dipuji dan bukannya dikritik. Adakah memakai serban atau penutup kepala semasa melawat kuil Sikh akan menerima kritikan yang sama? Malangnya, kritikan yang tidak wajar oleh seorang pemimpin negeri itu telah memberi kesan buruk kepada seluruh parti.

Menunjukkan rasa hormat kepada agama lain di tempat ibadat agama tidak boleh dianggap sebagai meninggalkan kepercayaan kita sendiri. Ia juga tidak boleh dilihat sebagai tindakan beralah kepada mana-mana pihak. Malah, perlu ada lebih banyak sokongan untuk saling menghormati dan bertolak ansur terhadap perbezaan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum bagi menggalakkan perpaduan dalam kepelbagaian.

Marilah kita memberi tumpuan kepada menekan kerajaan untuk menyuntik RM3 bilion dalam Dana Penstabilan Harga Barang Nasional bagi membendung kenaikan harga telur, ayam, roti, sayur-sayuran, minyak masak dan juga ais batu serta baja import, racun serangga dan bahan binaan serta buruh, yang telah menjejaskan kehidupan rakyat dengan mengurangkan kuasa beli kebanyakan isi rumah lebih daripada separuh.