Skip to content

Ahli Majlis MCA Keliru Dengan Tugas dan Tanggungjawab Kerajaan Tempatan

Sebagai respon kepada kenyataan oleh Ahli-Ahli Majlis dari MCA seperti yang telah dilaporkan oleh beberapa akhbar berhubung pemberhentian pengeluaran lesen sementara dan larangan menjaja di tepi jalan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM), saya ingin tampil memberikan penjelasan terhadap semua dakwaan yang telah dikemukakan mereka :

  1. Ahli-Ahli Majlis dari MCA mengatakan saya tidak memahami prosedur pengeluran lesen sementara, namun saya ingin mengemukakan pertanyaan, apakah kaitan prosedur penguatkuasaan dengan keputusan untuk mengimplementasikan polisi pembekuan lesen sementara? Ahli-Ahli Majlis MCA ini keliru dengan terma yang mereka sendiri ucapkan.
  2. Prosedur penguatkuasaan adalah di dalam bidangkuasa pentadbiran manakala penggubalan polisi atau undang-undang kecil adalah termaktub dalam bidangkuasa Ahli Majlis. Setiap apa polisi atau undang-undang kecil yang dibuat oleh Ahli-Ahli Majlis akan dikuatkuasakan oleh anggota pentadbiran. Persoalan utama yang saya bangkitkan sebelum ini bukanlah prosedur tetapi adalah keputusan yang telah dibuat oleh penggubal polisi. Adakah kenyataan Ahli-Ahli Majlis ini untuk memesongkan isu sebenar?

Saya turut ingin mengemukakan pertanyaan kepada Ahli-Ahli Majlis dari MCA ini, adakah jawatan yang anda sandang sekarang ini dipilih oleh rakyat ataupun lantikan parti politik? Adakah anda akan mengikut kehendak tuan-tuan politik anda ataupun mengikut suara rakyat?

Ahli-Ahli Majlis dari MCA ini juga nampaknya keliru dengan konsep pentadbiran Kerajaan yang diamalkan di dalam negara kita ini. Kerajaan Tempatan adalah peringkat ketiga pentadbiran selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ahli-Ahli Majlis bertanggungjawab terhadap Kerajaan Tempatan bukannya Ahli Parlimen ataupun ADUN.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Majlis untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung setiap polisi yang ingin dilaksanakan bukannya menolak kepada Dewan Rakyat atau Dewan Negeri untuk diperjelaskan. Ahli-Ahli Majlis dari MCA ini langsung tidak memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai ahli Majlis. Seharusnya kesemua Ahli Majlis ini meletakkan jawatan dan berikan peluang kepada rakyat untuk memilih Ahli-Ahli Majlis yang lebih berkaliber. Jika tidak, Kerajaan perlu mengadakan kursus kefahaman institusi demokrasi dan perundangan kepada semua Ahli Majlis ini.

Walaupun begitu, saya telah mengemukakan perkara ini di dalam pertanyaan di Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang ke-13 untuk diperjelaskan oleh Kerajaan Negeri berhubung keputusan Majlis Perbandaran Muar ini.

Selain itu juga, hakikat yang perlu difahami oleh Ahli-Ahli Majlis ini bahawa sebenarnya tidak ada saluran rasmi untuk semua rakyat termasuklah Wakil-Wakil Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mengemukakan pertanyaan secara rasmi berlandaskan peruntukan perundangan berhubung apa juga yang dilaksanakan oleh Kerajaan Tempatan. Ahli Parlimen dan ADUN hanya dibenarkan untuk mendengar sahaja di dalam mesyuarat Majlis Perbandaran Muar. Ahli Parlimen atau ADUN sepatutnya dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam soal jawab di dalam Mesyuarat Majlis agar perkara-perkara berbangkit seperti ini dapat diperjelaskan dengan tuntas.

Selain itu juga, sama pertanyaan dibangkitkan kepada Yang Dipertua MPM, Ahli-Ahli Majlis, Pegawai Pentadbiran hatta kepada Menteri Besar sekalipun, isu pokok yang sebenarnya adalah jika MPM mahu membuat polisi atau perkara yang tidak popular, MPM harus mengadakan sesi pertemuan dengan orang ramai. Beri penjelasan dan bukti-bukti mengapa perlunya dasar ini dibuat supaya rakyat dapat memberikan maklum balas dan membuat penilaian terhadap polisi tersebut.

Sebagai rumusan, rakyat Muar khususnya golongan peniaga dan penjaja sedang ternanti-nanti apakah jalan penyelesaian daripada Majlis Perbandaran Muar di dalam kemelut ini. Bagaimanakah Majlis Perbandaran Muar akan melaksanakan polisi ini tanpa menjejaskan punca pendapatan golongan ini di dalam situasi ekonomi yang perlahan ketika ini? Persoalan ini masih lagi tidak dijawap oleh pihak Majlis Perbandaran Muar ataupun sememangnya ia bukanlah keutamaan untuk diselesaikan.