Berhubung dengan isu ketidakhadiran sebahagian Ahli Parlimen Pakatan Rakyat semasa pengundian untuk Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015, saya ingin menegaskan bahawa 35 daripada 37 Ahli Parlimen DAP hadir semasa pengundian pada bacaan kedua untuk merujuk Rang Undang-undang tersebut ke satu Jawatankuasa Terpilih seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput.
Tiga wakil DAP telah membahaskan RUU tersebut secara bersungguh-sungguh pada peringkat dasar iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.
Selain itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng juga mencadangkan beberapa pindaan dalam peringkat jawatankuasa terhadap RUU tersebut.
Dua Ahli Parlimen DAP yang tidak dapat hadir pada hari tersebut ialah Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong. Kedua-dua mereka berada di Australia pada hari tersebut untuk lawatan yang telah dirancang sebelum ini.
Saya juga ingin memperbetulkan laporan media yang telah melaporkan bahawa Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak hadir sepanjang hari Isnin lepas. Sebenarnya, Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut berada dalam Dewan pada ketika pengundian dan mengambil bahagian dalam proses tersebut. Namun, beliau terpaksa meninggalkan Dewan selepas itu kerana berasa kurang sihat.
Selaku Ketua Whip Ahli Parlimen DAP, saya ingin menegaskan dan memberi komitmen kepada rakyat Malaysia bahawa semua Ahli Parlimen DAP amat komited dan serius dalam tugas dan tanggungjawab kami untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam semua proses perundangan di Dewan Rakyat!