DAP mencadangkan Ahli Parlimen PH menggesa undian belah bahagi terhadap Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada Isnin bagi membantah keputusan Kabinet yang memberikan RM100 juta hartanah kerajaan kepada bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, peruntukan Belanjawan 2022 yang tidak adil dan tidak mencukupi serta mengembalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura. Walaupun Najib telah menarik balik permohonannya atas tujuan politik agar tidak menjejaskan sentimen pengundian pada pilihan raya negeri Melaka, tidak ada jaminan beliau tidak akan memohon semula nanti. Sama ada Najib membuat keputusan untuk memohon semula selepas ini untuk hartanah RM100 juta itu, keputusan asal Kabinet untuk memberikan kelulusan adalah salah dan mesti ditukar.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mendedahkan di Parlimen pada 18 November bahawa Kabinet telah meluluskan RM100 juta sebagai mengiktiraf perkhidmatan Najib walaupun Najib telah disabitkan kesalahan atas salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram yang menyebabkan Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Keputusan kabinet untuk memberikan hartanah RM100 juta kepada Najib jelas salah dan telah menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri. Keputusan ini benar-benar mempersendakan konsep Keluarga Malaysia beliau kerana hanya menguntungkan keluarga politik terdekat mereka dan bukan semua rakyat Malaysia.
Jabatan Perdana Menteri juga perlu ditentang disebabkan peruntukan yang tidak mencukupi dan tidak adil kerana gagal mengagihkan peruntukan berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang khususnya untuk Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia. Peruntukan Belanjawan tambahan di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion yang berhemat tidak akan menjejaskan tahap hutang atau defisit dengan banyak tetapi mungkin kritikal dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.
Selanjutnya, undian belah bahagi perlu dilakukan untuk membantah Jabatan Perdana Menteri yang enggan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Sebaliknya, kerajaan sekarang hanya akan membenarkan HSR berhenti di Johor Bahru dan menetapkannya semula sebagai HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru.
Ini adalah tidak praktikal dan tidak berdaya maju daripada segi kewangan kerana ia akan menafikan negeri Melaka, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan manfaat ekonomi yang bermakna daripada HSR yang berhenti di Singapura. HSR KL-Singapura telah dibatalkan bukan oleh PH tetapi oleh Kerajaan PN dan BN. Keperluan untuk HSR KL-Singapura adalah salah satu isu yang dibangkitkan dalam pilihan raya negeri Melaka di mana rakyat mahu HSR KL-Singapura dikembalikan.