DAP menganggap Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu sebagai contoh yang menjijikkan seorang lelaki berkuasa yang menolak dan tidak mengendahkan aduan wanita mengenai gangguan seksual apabila dia mempersoalkan motif penerjun negara Pandelela Rinong dalam membawa “kisah lama” tentang bekas jurulatihnya. Penerjun negara dan salah seorang wirawati sukan kita, Pandelela Rinong berkata dia telah berkongsi pengalaman gangguan seksual yang melibatkan bekas jurulatihnya untuk menawarkan sokongan dan menggalakkan mangsa lain untuk bersuara.
Daripada bersimpati dengan Pandelela dan menyiasat pendedahannya yang mengejutkan, Ahmad Faizal telah memilih untuk bukan sahaja memperkecilkan tetapi juga menganiaya pemberi maklumat dan mangsa gangguan dan serangan seksual. Mungkin dia lupa bahawa wanita-wanita ini adalah manusia dan bukan harta benda semata-mata untuk dipergunakan dan dibuang begitu sahaja.
Pandelela telah berkongsi di media sosial bahawa dia mempunyai seorang jurulatih yang suka membuat jenaka lucah, tetapi atlet tidak boleh berbuat apa-apa terhadapnya kerana dia mendapat sokongan ketua jurulatih. Ahmad Faizal jangan lupa bahawa dia juga mempunyai anak perempuan dan cucu perempuan yang dia ingin lindungi daripada pemangsa seksual.
Apabila Pandelela akhirnya bersuara, dia berkata akibatnya dia telah dibuli. Paling mengejutkan adalah Pandelela mendakwa jurulatih terbabit melakukan kes rogol tujuh tahun kemudian. Seperti yang dikatakan pemenang dua kali pingat Olimpik ini dengan jelas, “Paling penting, mereka yang membiarkan dan mempertahankan perkara ini tidak perlu diangkat. Orang lain mungkin lupa, tetapi bukan mangsa”.
Ahmad Faizal telah menunjukkan dirinya tidak layak untuk memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Tindakan perlu diambil untuk membersihkan sukan dan menjadikannya selamat untuk wanita dengan bertindak bukan sahaja terhadap pelaku tetapi juga mereka yang membiarkan dan mempertahankan perkara ini dengan cuba menutup tingkah laku jenayah tersebut dan memaksa mangsa untuk berdiam diri dan berasa takut untuk sekian lama.