Kerajaan Negeri mengambil maklum akan isu gangguan air yang dilaporkan berlaku di negeri ini ekoran beberapa situasi kecemasan dihadapi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada pagi ini. LRA Sungai Dua yang mengeluarkan lebih 80 peratus air terawat kepada seluruh Pulau Pinang setiap hari adalah amat penting kepada seluruh rakyat negeri ini.
LRA Sungai Dua terjejas kerana menerima aliran air mentah Sungai Muda yang terlalu keruh dipercayai kesan daripada banjir kilat yang berlaku di Baling, Kedah.
Berikutan itu, keadaan ini telah menyukarkan pengoperasian sehingga menyebabkan loji rawatan tersebut tidak dapat berfungsi dengan baiknya, dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menghentikan pengoperasian rawatan air bermula pada 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
Meskipun begitu, PBAPP telah mengambil tindakan awal dengan mengalirkan air mentah dari Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai ‘empangan strategik’ untuk dibekalkan kepada pengguna di negeri ini.
Saya difahamkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dan pasukannya sedang bermesyuarat bagi membincangkan tindakan sewajarnya dan satu kenyataan yang lebih terperinci akan dikongsi pihak berkaitan.
Pada jam 3 petang sebentar tadi, pihak PBAPP telah mengeluarkan kenyataan media terperinci berhubung situasi berkenaan.