Pada jam 2:24 pm, akaun Twitter Polis Diraja Malaysia menulis ‘VIVA ISLAMIC STATE !’ yang dipautkan ke laman Facebook rasmi PDRM. Ia kemudiannya diikuti perkongsian hashtag ‘#AnonGHost Was Here ;)’ seminit kemudian.
2:37pm penggodam-penggodam ini memperkenalkan diri sebagai “We are :Mauritania Attacker – AnonxoxTn – StingerByte – Mr.Domoz – Th3Falcon – HusseiN98D – Dr’SaMiM-008”
2:42pm Pihak PDRM menyedari keadaan ini dan memaklumkan bahawa akaun media sosialnya sedang digodam. Ketiga-tiga perkongsian sebelumnya tidak pun dipadamkan.
Jam 3:01pm penggodam berkongsi pautan di Facebook, menafikan hubungan dengan kumpulan Anonymous.
3:07pm penggodam berkata “Najib Razak…we are coming to you ….”
3:24pm mereka berkata pula, “Kami nak beri amaran pada menteri amaran….jgn nak bekap2 kazen ko tu…hidup ATM ! hidup Dr.M !”
Sehingga saat kenyataan ini ditulis, kesemua perkongsian oleh si penggodam belum dipadamkan oleh PDRM.
Aneh sekali bagaimana administrator media sosial PDRM boleh memberi notis pada jam 2:42pm bahawa ia sedang digodam, tetapi tidak memadamkan mesej-mesej si penggodam.
Selepas lebih 2 jam akaun pasukan keselamatan digodam, pihak polis nampaknya langsung tidak mampu berbuat apa-apa. Ini aneh sekali.
Melihat kepada perkembangan di ibu kota sejak semalam, keadaan ini amat membimbangkan. Bagaimana keselamatan internet PDRM sendiri begitu lemah sehingga boleh dibolosi penggodam. Dengan kapasiti yang sedemikian, bagaimana kita mahu mengharapkan PDRM untuk melindungi keselamatan orang ramai daripada pengganas teknologi maklumat, terutamanya di saat ancaman kumpulan militan IS semakin menjadi-jadi?
Atau adakah ini hasil kerja orang dalam yang bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu hangat yang sedang melanda negara?
Saya menggesa pihak PDRM, SKMM dan pihak-pihak berwajib untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan kepada orang ramai kenapa hal sedemikian boleh berlaku, dan apa jaminan pihak kerajaan bahawa keselamatan internet orang ramai, termasuk akaun bank dan maklumat peribadi tidak dikompromi dengan serangan ke atas akaun media sosial PDRM ini.
Dan sekiranya ancaman tersebut datang dari dalam, saya menggesa pihak berkuasa menjamin siasatan dan tindakan segera sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.