DAP mempersoalkan kenyataan menyeleweng Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa ketelusan, akauntabiliti dan bahagian penting demokrasi berparlimen masih dapat ditegakkan dengan hanya menerbitkan jumlah yang dibelanjakan melalui warta kerajaan. Sekadar menerbitkan warta Kerajaan Persekutuan atau Negeri dengan jumlah perbelanjaan yang dilakukan di bawah kuasa darurat, tidak sama dengan amalan ketelusan atau akauntabiliti. Ini satu penghinaan kepada Parlimen.
Apa yang diperlukan adalah perbahasan penuh parlimen yang merangkumi hak menasihat, perbezaan pendapat dan persetujuan oleh Ahli Parlimen yang menjalankan tugas pengawasan Parlimen dan pemeriksaan perbelanjaan awam. Zafrul tidak menafikan bahawa Parlimen telah dilangkau, ketika kuasa darurat diberikan kepada seorang individu untuk meluluskan belanjawan tambahan bagi perbelanjaan tambahan untuk mengatasi krisis Covid-19, dan membantu mereka yang terjejas dari segi ekonomi akibat wabak tersebut.
Tambahan, menerbitkan jumlah perbelanjaan yang dibenarkan dalam warta kerajaan bukan perkara baru kerana Belanjawan Tambahan yang lalu juga akan diterbitkan dalam warta kerajaan. Menerbitkan jumlah perbelanjaan dalam warta kerajaan tidak boleh mengambil alih kuasa perundangan Parlimen.
Pemimpin DAP telah memberikan jaminan sokongan penuh sekiranya mesyuarat Parlimen diadakan untuk meluluskan belanjawan tambahan bagi perbelanjaan COVID-19. DAP tidak akan menyokong atau mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekiranya Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos. Tidak perlu menggunakan kuasa darurat untuk meluluskan belanjawan tambahan apabila Parlimen masih boleh meluluskannya setelah Darurat tamat pada 1 Ogos, selagi mana ia dilakukan sebelum 31 Disember.
Menolak untuk mengadakan mesyuarat Parlimen adalah tindakan khianat PN terhadap Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sebab mengapa Parlimen masih ditutup ketika tempat perniagaan, sekolah dan juga stadium sukan telah dibuka. Mengapa Parlimen masih tidak boleh bersidang sedangkan semua Ahli Parlimen telah diberi vaksin?
Puluhan bilion wang negara kini hanya ditentukan oleh seorang individu dan bukannya melalui sistem semak dan imbang demokrasi berparlimen. Parlimen adalah platform yang tepat untuk menyemak penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan, dan penyalahgunaan dana awam untuk tujuan politik, seperti peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) yang dipotong menjadi RM40.5 juta setelah mendapat bantahan dari Ahli Parlimen.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini pada 6.5% berbanding dengan ramalan Bank Dunia sebanyak 6%. Angka spesifik oleh IMF dan Bank Dunia ini berbeza dengan ramalan tidak menentu pertumbuhan KDNK oleh Kerajaan Malaysia antara 6-7.5% untuk tahun 2021. Di manakah akauntabiliti dan ketelusannya?