Skip to content

Akauntabiliti penuh terhadap skandal RM9 bilion Kapal Tempur Littoral (LCS) lebih penting daripada Hishammuddin atau Hari Kiamat saya

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein tidak seharusnya memperlekehkan skandal RM9 bilion kapal LCS, sebagai satu jenaka dengan menolak kritikan terbuka saya sebagai bimbang tentang pencapaiannya sebagai Menteri dan secara sinis menyatakan bahawa saya tidak akan memujinya sehingga Hari Kiamat. Hishammuddin silap kerana saya akan memuji Hishammuddin dengan serta-merta jika dia dapat memastikan kapal LCS disiapkan mengikut jadual. Akauntabiliti penuh terhadap skandal RM9 bilion kapal LCS adalah lebih penting daripada Hishammuddin atau Hari Kiamat saya.

Dengan mengatakan bahawa kritikan saya mengenai salah urus oleh Hishammuddin terhadap skandal LCS menunjukkan bahawa “Jika orang tidak endah dekat kita, itu bermakna kita tidak buat kerja” mengabaikan kemarahan orang ramai bahawa RM6.08 bilion telah dibayar tetapi tidak satu pun kapal LCS yang siap daripada 5 kapal LCS yang dijadualkan siap pada Ogos 2022. Berdasarkan logiknya yang terpesong itu, jika saya tidak bercakap tentang Menteri lain seperti Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, maka Khairy adalah Menteri yang gagal.

Orang ramai mahukan jawapan sebenar oleh Menteri sebenar apabila keselamatan negara boleh dikompromi dengan aset tentera laut yang tidak siap walaupun sudah membayar RM6.08 bilion. Sehingga kini Hishammuddin tidak memberikan penjelasan penuh mengapa pembayaran besar itu diluluskan.

Hishammuddin juga tidak menjelaskan bagaimana dia boleh menyaksikan pelancaran kapal LCS pertama yang belum siap pada 2017, lengkap dengan tiang palsu dengan kos RM400,000, yang dibuang sejurus selepas majlis pelancaran. Bolehkah Hishammuddin juga menjelaskan mengapa tidak seorang pun didakwa di mahkamah melibatkan skandal kapal LCS walaupun terdapat banyak siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Jawapan tidak bertanggungjawab Hishammuddin mengenai perkara perolehan pertahanan yang serius akan memberi gambaran negatif yang merendahkan keupayaan pertahanan Malaysia di peringkat antarabangsa. Hishammuddin harus bangun daripada tidur dan serius dalam menjalankan tugasnya dengan baik atau jika tidak seluruh dunia akan melihat kegagalannya yang teruk sebagai Menteri Pertahanan.