Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, dalam isu “bendera terbalik”, telah bertindak menyerang kakitangan sebuah sekolah dan DAPSY, malah turut menghina golongan OKU secara terbuka. Beliau sepatutnya memohon maaf secara terbuka kepada semua warga OKU di negara ini.
Ini bukan sekadar isu bendera. Ini adalah satu bentuk buli secara terbuka terhadap SJKC Chung Hua Port Dickson, termasuk pekerja sekolah dan DAPSY, yang diselindungkan atas nama “mempertahankan maruah negara”. Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Akmal seharusnya memahami tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakannya. Namun malangnya, beliau memilih untuk mengetuai serangan terhadap seorang pekerja sekolah, dan menghina DAPSY secara terbuka – satu tindakan yang amat mengecewakan.
Sebuah bendera yang dipasang terbalik tidak boleh dilabel sebagai penderhaka negara. Apakah Akmal akan menganggap imej bendera yang terbalik di cermin sebagai tidak menghormati bendara? Isu pokoknya ialah: adakah kesilapan ini disengajakan? Jika ianya satu kesilapan tanpa niat, tetapi terus dilabel sebagai ‘penderhaka negara’, maka semua penjara di negara ini tidak akan mampu menampung jumlah ‘pesalah’.
Lihat pula sejarah Akmal sendiri – beliau pernah terpalit dengan pelbagai kenyataan kontroversi yang berikatan dengan keharmonian dan perpaduan , yang mengundang kritikan meluas rakyat. Malah seramai 38,000 orang telah menandatangani petisyen membantah kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkannya, lengkap dengan sebab dan hujah. Namun sehingga kini, beliau tidak pernah memohon maaf. Seorang yang enggan mengakui kesilapannya sendiri, tidak layak mempersoalkan patriotisme orang lain.
Malah kes jenayah sekalipun perlu diputuskan oleh hakim untuk menentukan sama ada seseorang yang didakwa benar-benar melakukan kesalahan atau tidak. Seorang hakim juga tidak boleh menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan sekeping gambar atau beberapa kenyataan. Sekolah adalah tempat mendidik pelajar – bukan sahaja ilmu, tetapi juga nilai memaafkan dan memperbaiki kesilapan. Kalau Akmal mendakwa pekerja sekolah itu sengaja melakukan kesalahan, maka beliau harus mengemukakan bukti yang menunjukkan ia dilakukan dengan niat. Jika tiada bukti, maka hentikan penyalahgunaan kedudukannya sebagai individu terkenal dan pengaruh medianya untuk menghasut dan membuli pekerja sekolah tersebut.
Lebih memburukkan keadaan, Akmal mengeluarkan kenyataan mahu “berikan kad OKU kepada DAPSY”. Ini bukan sahaja menghina DAPSY, tetapi turut menghina seluruh komuniti OKU di Malaysia. Golongan OKU adalah warga yang memerlukan sokongan dan empati masyarakat, bukannya menjadi bahan ejekan atau penghinaan politik. Akmal bukan sekadar menghina DAPSY – beliau telah menghina setiap insan OKU dan menjatuhkan maruah parti yang diwakilinya.
Golongan muda ialah tunjang masa depan negara. Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Akmal sepatutnya menjadi pemimpin masa depan yang dilatih oleh partinya. Beliau seharusnya berhati-hati dalam tutur kata, dan menyuarakan pandangan yang membina untuk negara, masyarakat dan rakyat — bukannya menabur kebencian serta mengetuai serangan beramai-ramai terhadap SJKC Chung Hua Port Dickson, termasuk pengetua dan pekerja sekolah.
Patriotisme tidak diukur dengan suara yang paling lantang, tetapi dengan sikap yang rasional, adil dan inklusif. Semoga kemelut ini menjadi titik muhasabah untuk seluruh rakyat dan bukan dijadikan batu loncatan oleh ahli politik untuk menaikkan diri.