Skip to content

Akmal Saleh Harus Mohon Maaf Segera atas Penghinaan terhadap Golongan OKU dan DAPSY

Saya mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang telah mempersenda dan menghina komuniti orang kurang upaya (OKU) dan menyerang DAPSY di media sosial baru-baru ini. Kenyataan Dr Akmal merupakan cubaan memecah-belahkan rakyat dan beliau tidak layak membincang semangat patriotik.

2. Kenyataan Dr Akmal sebelum ini yang mempersoalkan kesesuaian golongan OKU bekerja di sekolah dan kenyataan beliau hari ini di mana beliau saran pemimpin Pemuda DAP diberi status OKU, merupakan penghinaan terang-terangan terhadap komuniti OKU, serta satu bentuk serangan peribadi paling keji.

3. Kenyataan Dr Akmal bukan sahaja menghina maruah warga OKU di Malaysia, malah merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat. Beliau cuba memanipulasi kesilapan yang telah pun dijelaskan dan disusuli permohonan maaf sebagai bahan untuk menghasut kebencian kaum dan serangan politik. Beliau harus segera memohon maaf.

4. Kenyataan yang tidak inklusif dan tidak menghormati kepelbagaian sesama rakyat Malaysia ini sebenarnya amat sinis kepada Dr Akmal yang sentiasa melaungkan semangat patriotik. Yang benar-benar tidak patriotik adalah mereka yang menjadikan isu bendera sebagai senjata politik.

6. Beberapa agensi dan individu telah melakukan kekhilafan yang tidak disengajakan dalam pengendalian bendera Jalur Gemilang sebelum ini, namun hukuman terhadap mereka tidak seragam. Hal ini telah menimbulkan persepsi dua darjat dalam kalangan rakyat. Berikut adalah beberapa insiden terdahulu:

i. 2016 – Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban secara tidak sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik. Polis mendakwa ia adalah kesilapan teknikal dan telah diperbetulkan segera.
ii. 2020 – Seorang pemilik kilang di Senai, Johor ditahan selama tiga hari selepas pekerja asing Indonesia tersilap menggantung bendera secara terbalik.
iii. 13 Disember 2022 – Seorang pekerja warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Klang kerana menggantung Jalur Gemilang secara terbalik. Dia mengaku bersalah dan didenda RM3,500 atau penjara 5 bulan jika gagal membayar denda.
iv. 15 April 2025 – Akhbar Sin Chew Daily tersilap mencetak imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada kulit depan. Kesilapan disusuli permohonan maaf rasmi dalam tiga bahasa dan siasatan oleh pihak polis. Ketua Editor dan Penolong Ketua Editor digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
v. 25 April 2025 – Kementerian Pendidikan tersilap memaparkan bendera dalam tiga ilustrasi dalam laporan analisis keputusan SPM 2024. KPM kemudian memohon maaf secara rasmi dan mengambil tindakan disiplin terhadap pihak terlibat.
vi. Mei 2025- PAS mengedarkan poster promosi bagi himpunan TMT yang dijadual berlangsung di Kemaman pada 29 hingga 31 Mei. Bagaimanapun, logo itu dikritik kerana hanya memaparkan bintang kuning dengan 11 bucu, selain hanya jalur merah putih. PAS Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang mencetuskan kontroversi, berikutan memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

6. Saya meraikan cadangan Ketua Pemuda DAP Negeri Sembilan, Louis Lim Chun Weng, supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan SOP rasmi bagi tatacara penggantungan bendera adalah wajar. SOP yang jelas dan telus akan memudahkan semua pihak mematuhinya. Apa yang lebih penting adalah keadilan yang saksama terhadap semua pihak – tanpa mengira pangkat atau kedudukan.