1. DAPSY Kebangsaan membidas sekeras-kerasnya hujah biadab Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh dan kenyataan dangkal setiausahanya yang jelas menunjukkan bahawa mereka hanya ingin berlagak hero dan samseng serta tidak berniat untuk membantu pentadbiran PMX dalam menyelamatkan sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla.
2. Hakikatnya, kenyataan Ketua DAPSY Kebangsaan YB Woo Kah Leong berhubung insiden Global Sumud Flotilla adalah jelas dan tepat, iaitu menyeru agar tiada pihak yang mengeruhkan keadaan dan semua harus berperanan sebagai benteng kepada PMX yang sudahpun mengambil tindakan pantas dan tegas dalam usaha menyelamatkan tahanan, khususnya warganegara Malaysia.
3. Malangnya, Akmal Saleh sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai samseng politik yang paling mudah terasa dan cepat koyak. Daripada berdiri teguh di belakang PMX, Akmal memilih untuk mencerca dan menyerang pihak yang hanya menyeru bahawa Israel adalah musuh utama. Adakah Akmal tidak bersetuju dengan seruan Ketua DAPSY bahawa Israel adalah satu-satunya musuh di depan mata?
4. Isu Global Sumud Flotilla adalah amat serius, maka yang diperlukan sekarang adalah kebijaksanaan pemimpin, serta empati terhadap keluarga tahanan, dan sokongan padu kepada PMX dalam rundingan antarabangsa, bukannya gimik politik yang mengeruhkan keadaan.
5. DAPSY ingin menegaskan bahawa serangan peribadi, bahasa samseng dan politik kebencian yang ditunjukkan oleh Akmal Saleh ini tidak membantu sesiapa pun dan hanya menyerlahkan sifat tidak matang dan pemikiran sempit Akmal.
6. Isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani secara kolektif. Selepas PMX segera membuat kenyataan keras mengenai isu Global Sumud Flotilla, semua pihak termasuk ahli politik tidak harus menjadikan isu ini sebagai pentas untuk menonjolkan ego politik atau menguji siapa lebih hero.
7. Sekiranya begitu hebat, kenapa samseng politik tersebut yang kini berada di Amerika Syarikat tidak mengepung White House dan berdepan dengan Trump secara terus? Tidak perlulah menunggu Sidang Kemuncak ASEAN memandangkan diri sendiri sudah berada di situ. Hentikanlah segala aksi hipokrit.
8. DAPSY Kebangsaan menyeru agar semua pihak terus kekal fokus kepada isu sebenar dan mendoakan agar semua tahanan khususnya warganegara Malaysia selamat, bukannya sibuk bertindak samseng dengan mencaci orang lain.