Sejak permulaan tahun 2014, penduduk Johor dilanda pelbagai masalah air, antaranya adalah masalah mutu bekalan air.
Saya mencadangkan bahawa kerajaan perlu membincangkan Rang Undang-Undang Air Minuman Bersih secara terbuka untuk menjamin kualiti bekalan air bukan sahaja di Kluang, malah Johor dan seluruh Malaysia.
Kualiti air di Kluang agak teruk. Saya dimaklumkan bahawa kerajaan telah bercadang untuk menggubal Akta Air Minuman Bersih tetapi rang undang-undang ini belum dibincangkan secara terbuka。
Saya rasa akta tersebut memang diperlukan, kita perlukan satu akta air minuman bersih supaya kita boleh menjaga kualiti air yang dibekalkan kepada rakyat jelata.
Pusat Komunit Pakatan Rakyat Kluang telah menerima banyak kes aduan tentang mutu bekalan air sejak Jun tahun ini. Antara aduan yang diterima adalah air paip berbau dan berwarna kuning.
Selain itu, saya juga meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk membanteras kegiatan pusat judi dengan tegas. Ini kerana pertumbuhan pusat judi telah menyumbang kepada kenaikan kes-kes jenayah di Kluang.
Semasa membuat tinjauan di kawasan Kluang dan berjumpa dengan pengundi, mereka akan mengadu bahawa salah satu penyumbang kes-kes jenayah adalah pusat judi atau pusat hiburan.
Walaupun laporan media telah melaporkan bahawa Ketua Polis Negara mengarahkan supaya tindakan diambil terhadap perjudian haram, semakin banyak pusat judi baru seperti cendawan tumbuh lepas hujan walaupun operasi dan tindakan dijalankan.
Saya juga meminta Kementerian Kerja Raya untuk membina pemisah di Jalan Batu Pahat antara Ayer Hitam dan Kluang yang sudah ditangguhkan banyak kali.
Ini adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan di Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam.