Skip to content

Alami gejala, jalani ujian saringan segera; dapatkan dos booster, segerakan PICKIDS

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira agama dan latar belakang supaya tampil mengambil suntikan dos penggalak (booster) pada kadar segera.

Serentak itu, ibu bapa atau penjaga turut diseru supaya mendaftarkan anak berusia lima (5) tahun hingga 11 tahun bawah jagaan masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 3 Mac 2022 menunjukkan bahawa daripada 1.77 juta keseluruhan populasi negeri ini, peratus pencapaian suntikan vaksin untuk Dos 1 adalah 90 peratus; Dos 2 (86.2 peratus) dan hanya (72.7 peratus) bagi dos penggalak iaitu berjumlah 993,432 orang.

Dalam pada itu, bagi tempoh sama, daripada data keseluruhan 155,600 kanak-kanak berusia lima (5) hingga 11 tahun di negeri ini, sebanyak 50 peratus masih belum mendaftar di bawah PICKids. Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang – Pengurusan COVID-19 yang berlangsung semalam, 3 Mac 2022 turut berkongsi pecahan prestasi PICKids mengikut sekolah berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang iaitu:- (sehingga 3 Mac 2022)

  • Sekolah Kebangsaan (19.6 peratus);
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (81.0 peratus);
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (15.8 peratus);
  • Sekolah Agama (16.4 peratus).

Dengan gelombang jangkitan Omicron yang dilalui Pulau Pinang kini, vaksinasi merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan seseorang yang dijangkiti mengalami simptom yang teruk dan juga kes Brought in Death (BID). Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi seluruh negara menerusi Mesyuarat YB Menteri bersama-sama Exco-Exco Kesihatan semalam turut berkongsi bahawa sebanyak 91 peratus kes BID tidak mengetahui mereka dijangkiti wabak COVID-19, dan daripada jumlah tersebut hanya 9 peratus yang menerima suntikan booster, selebihnya adalah tanpa atau tidak mengambil suntikan ‘ketiga’ yang disyaratkan berkaitan.

Secara keseluruhan, JKNPP memaklumkan bahawa situasi serta kelengkapan perubatan negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal. Malah, hasil usahasama Kerajaan Negeri, JKNPP dan agensi-agensi berkaitan, pelan-pelan serta kelengkapan kontigensi berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Jangan tunggu dan berlengah sekiranya anda merasakan diri mempunyai simptom-simptom tidak sihat. Segera jalani ujian saringan kendiri dan pesakit boleh walk-in di kelima-lima Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) JKNPP atau hubungi talian Hotline, 04 – 3827143/04 – 3827142 bagi maklumat lanjut.

Penang Lawan COVID-19!