Penubuhan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada tahun 2003 di bawah seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 telah menetapkan beberapa objektif.
Objektif utama penubuhannya adalah untuk membantu golongan ibu bapa murid yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah dengan harapan berupaya mengurangkan jurang peluang pendidikan di antara bandar dan luar bandar.
Namum demikian, dalam Bajet 2016, peruntukan kepada KWAPM telah dikurangkan hingga RM10 juta atau 95% berbanding RM200 juta pada tahun 2015. Sudah tentu pengurangan ini akan membantutkan usaha dan objektif yang telah digariskan oleh KPM.
Soalnya lagi, sudah tidak adakah orang miskin di negara ini, atau pihak kerajaan BN sudah tidak berminat untuk membantu golongan miskin tersebut?
Sewajarnya pihak kerajaan mempunyai sebab dan perlu menerangkan kepada rakyat mengapa pengurangan peruntukan yang sangat besar ini berlaku. Jika ada kewajarannya pun biarlah pengurangan tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat dan bukannya mendadak seperti dalam bajet 2016.
Objektif (KWAPM) juga adalah untuk membasmi murid yang tercicir daripada persekolahan akibat kemiskinan di samping memberikan akses pendidikan yang sama rata dalam menjana kecemerlangan negara.
Menurut statistik keciciran pelajaran yang dikeluarkan oleh KPM sejak tahun 2006-2010, sebanyak 10.83% pelajar telah mengalami keciciran pelajaran.
Manakala berdasarkan statistik yang dikeluarkan atas Inisiatif Pertama Pendidikan Global (GEFI) yang dilancarkan pada September 2012 oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon telah mengatakan seramai 57 juta pelajar tercicir di seluruh dunia dan kemiskinan merupakan faktor utama.
Dengan pengurangan bajet ini juga jumlah peratusan pelajar tercicir di Malaysia akibat kemiskinan akan terus bertambah tahun demi tahun.
Pendapatan kerajaan melalui GST telah meningkat kepada RM39 bilion berbanding RM18 bilion pada zaman SST. Walaupun pendapatan kerajaan semakin meningkat, bantuan kepada golongan miskin terus dipotongkan.
Maka, sewajarnya kerajaan mengkaji semula pemotongan bajet yang terlalu drastik tersebut agar golongan pelajar yang tercicir akibat kemiskinan ini dapat dibantu untuk kebaikan mereka dan juga negara. Pendidikan dan ilmu adalah pelita hidup dan lambang keberadaban manusia.