Skip to content

Ali Rustam tidak perlu menuding jari kepada pihak lain atas kegagalannya sebagai seorang pemimpin Melayu

Ucapan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Mohd Ali Rustam berkenaan dengan turun ‘berperang’ adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan juga memalukan bagi seorang bekas Ketua Menteri.

Soalnya sekarang, dengan siapa Ali Rustam ingin berperang? Adakah Ali Rustam ingin berperang dengan rakyat Malaysia berbilang bangsa yang bersama-sama menuntut beberapa perkara yang hanya akan membawa kebaikan kepada negara kita yang tercinta?

Siapakah sebenarnya yang memalukan Melayu? Bukankah Ali Rustam sendiri yang memalukan parti sendiri dan juga komuniti Melayu dengan pembabitan politik wang di pemilihan UMNO beberapa tahun lalu sehingga dilucutkan pencalonan Timbalan Presiden?

Kenyataan bersifat perkauman yang boleh menjejaskan harmoni sesama bangsa oleh seorang bekas Ketua Menteri menunjukkan bahawa beliau sudah tiada modal untuk berpolitik dan menjadi tidak relevan setelah kalah di kerusi Parlimen Bukit Katil pada pilihanraya umum lalu.

Mungkin Ali Rustam sendiri boleh mula belajar silat untuk membina disiplin dan jati diri sendiri supaya fokus kepada tugasnya sebagai Pengerusi PUNB sebelum menuding jari kepada pihak lain atas kegagalannya sebagai pemimpin Melayu.