Skip to content

Alu-alukan siasatan polis terhadap 1MDB. Tetapi adakah pengurusan tertinggi 1MDB dan juga Najib Razak beserta Jho Low akan dipanggil untuk memberi keterangan?

kandal 1MDB telah mencapai satu takat baru setelah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, seorang pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan turut membuat laporan polis terhadap syarikat yang dipengerusikan Perdana Menteri Najib Razak itu.

Kita tidak tahu apa motif Khairuddin. Barangkali beliau hanya mahu mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir dalam menggugat kepimpinan Najib Razak. Khairuddin jelas bukan seorang kaki bodek. Dia tidak peduli apa kesan tindakannya terhadap politik peribadinya kerana menurutnya, laporan polis tersebut ialah terhadap sebuah syarikat, dan bukan terhadap Umno atau pemimpinnya.

Bagaimana pula dengan pemimpin parti-parti komponen BN yang lain? Dan bagaimana pula dengan menteri-menteri Kabinet yang tidak berparti?

Saya mahu melihat MCA, Gerakan dan parti-parti komponen BN; serta Paul Low dan Abdul Wahid Omar untuk turut menyatakan pendirian tentang 1MDB secara jelas kepada rakyat, dan tidak terus membodek Perdana Menteri dan menjadi pak hangguk sahaja.

Malah saya ingin mencabar mereka untuk menyatakan secara jelas sama ada mereka setuju, tidak setuju atau tidak peduli dengan cara bagaimana 1MDB sedang beroperasi.

Khairuddin Abu Hassan langsung tidak salah bahkan 100% tepat apabila mengatakan bahawa laporan polisnya adalah terhadap syarikat 1MDB dan bukannya terhadap Umno atau pimpinannya. Oleh yang demikian MCA, Gerakan dan lain-lain parti komponen BN tidak perlu risau. Mereka pastinya tidak akan menggugat tuan-tuan politik mereka.

Buat sahaja laporan polis terhadap 1MDB, memandangkan 1MDB sudah pun mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap urusan syarikat tersebut.

Saya juga berharap siasatan polis terhadap 1MDB seperti yang diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan membuahkan hasil yang baik. Semoga ia tidak diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) dan kertas siasatan dibuka dan dimajukan kepada Peguam Negara. Kita juga teringin mahu melihat sama ada pihak pengurusan tertinggi 1MDB termasuk Najib Razak dan Low Theik Jho aka Jho Low akan dipanggil untuk memberikan keterangan.