Skip to content

Amalan dua darjat oleh SPR berulang lagi dengan ceramah tertutup terhad kepada pejabat parti dan bilik gerakan dengan maksimum 100 orang berbeza dengan acara PN seramai 2,000 orang di Kota Tinggi

DAP kecewa dengan sikap berat sebelah dan amalan dua darjat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac. Ini diserlahkan dengan SPR hanya membenarkan ceramah tertutup diadakan di pejabat parti politik dan bilik gerakan dengan maksimum 100 orang berbeza dengan perhimpunan seramai 2,000 orang pada pelancaran kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi, Johor malam tadi.

Adalah tidak masuk akal dan tidak logik bahawa acara seramai 2,000 orang yang diadakan secara terbuka oleh PN dibenarkan sebelum Hari Penamaan Calon tetapi parti pembangkang tidak boleh melakukan perkara yang sama, semasa tempoh berkempen selepas Hari Penamaan Calon. Adakah SPR mendengar nasihat profesional dalam melarang ceramah di kawasan terbuka atau awam walaupun pakar kesihatan berpendapat bahawa kawasan terbuka mempunyai risiko penularan COVID-19 yang lebih rendah berbanding ruang tertutup kerana pengudaraan yang lebih baik?

SPR tidak sepatutnya mendengar “nasihat politik” tetapi bersikap bebas dan berkecuali dengan tegas untuk mengelak daripada dilihat sebagai memihak kepada parti pemerintah BN dan PN berbanding parti pembangkang.

Sebaliknya, SPR harus membenarkan ceramah terbuka dengan mengenakan semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, vaksinasi penuh dan penjarakan sosial. Sekatan seperti ini mungkin masuk akal sebelum vaksinasi secara besar-besaran, sedangkan kita kini sudah memasuki peringkat dos ketiga. Memandangkan kerajaan juga mempertimbangkan untuk membuka semula sempadan antarabangsa, sekatan ke atas ceramah dan kempen seperti ini yang mungkin sesuai untuk situasi COVID-19 dua tahun lalu adalah tidak konsisten dan tidak kena pada keadaan masa kini.