Skip to content

Amalan dua darjat SPRM yang mengambil tindakan terhadap Zahid Hamidi kerana menerima dana rasuah tetapi bukan bekas pemimpin UMNO lain yang berpaling tadah ke Bersatu menjadi satu lagi sebab untuk Azam Baki meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Amalan dua darjat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengambil tindakan terhadap Presiden UMNO Zahid Hamidi kerana menerima dana rasuah, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap bekas pemimpin UMNO lain yang berpaling tadah kepada Bersatu, adalah satu lagi sebab untuk Azam Baki meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. SPRM sedang menyemak kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana oleh seorang Menteri dan dua Timbalan Menteri, bukan atas inisiatif SPRM sendiri, tetapi selepas Zahid mendedahkannya di mahkamah.

Di dalam jawapan bertulis Parlimen baru-baru ini, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bahawa SPRM sedang “meneliti isu ini” terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa, Timbalan menteri Undang-Undang Mas Ermieyati Samsuddin dan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berikutan laporan difailkan kepada SPRM atas dakwaan penyelewengan dana parti UMNO bernilai puluhan juta ringgit.

Pada bulan Jun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi keterangan dalam perbicaraan rasuahnya di mahkamah bahawa tiga Ahli Parlimen Umno daripada Jeli (Mustapa), Masjid Tanah (Mas Ermieyati) dan Bagan Serai (Noor Azmi) telah meninggalkan parti dan melompat ke Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) “kerana takut” mereka akan disiasat oleh SPRM.

Zahid mendakwa di mahkamah bahawa Mustapa, yang juga Pengerusi Umno Kelantan ketika itu, telah mengambil lebih RM30 juta yang sepatutnya digunakan untuk membawa pulang penduduk Kelantan dari Lembah Klang untuk mengundi di negeri itu, tetapi tidak diagihkan. Beliau juga berkata Timbalan Menteri Undang-Undang Mas Ermieyati telah diamanahkan dengan dana untuk menguruskan Puteri Umno pada PRU14, tetapi mendakwa ia telah dipindahkan ke akaun lain untuk kegunaan peribadinya. Abang Noor Azmi pula telah menyalahgunakan dana untuk pembangunan di kawasan Parlimennya.

Ini menimbulkan persoalan amalan dua darjat oleh SPRM mengapa Zahid disiasat dan didakwa tetapi tidak Menteri dan 2 Timbalan Menteri ini. Azam Baki sepatutnya meletak jawatan kerana gagal menegakkan standard tertinggi integriti, kebebasan dan profesionalisme SPRM seperti yang dibuktikan oleh salah laku Azam dalam 4 kejadian yang jelas berikut.

Pertama, mempersoalkan kebenaran, kredibiliti dan kebolehpercayaan CPI TI, yang diterima oleh semua negara di peringkat global dan institusi pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Kedua, tanpa segan silu berbohong bahawa akaun dagangan sahamnya dikendalikan melalui abangnya secara proksi semata-mata untuk menutup kekayaan Azam yang tidak dapat dijelaskan dan dagangan saham luar biasa yang melibatkan jutaan Ringgit.

Ketiga, SPRM tidak menemui bukti salah guna kuasa dalam siasatannya terhadap bekas pengerusi bukan eksekutif Prasarana dan Ahli Parlimen UMNO Tajuddin Abdul Rahman berhubung dakwaan salah guna kuasa semasa memegang jawatan di Prasarana, walaupun SPRM telah menahannya pada Mei 2021. Keempat, membenarkan SPRM digunakan sebagai senjata politik demi kepentingan kerajaan dengan hanya mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pembangkang dan menghentikan tindakan sedemikian apabila mereka berpaling tadah untuk menyokong Perdana Menteri.