Skip to content

Ambil tindakan tegas terhadap fitnah berhubung bantuan Covid-19 dari negara China

Sebanyak 166,000 topeng muka telah pun diderma oleh Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 29 Mac lalu.

Topeng-topeng muka ini telah diserahkan oleh Konsulat Jeneral China ke Kota Kinabalu Liang Caide, kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Shafie Apdal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2.

(https://www.facebook.com/jabatanpenerangansabah/posts/2726809930750620)

Topeng-topeng muka ini telah dihantar dari Guangzhou, China ke Kota Kinabalu menggunakan penerbangan sewa khas AirAsia.

Selain kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan Malaysia juga telah menerima bantuan peralatan pelindungan dari negara China dan diterima oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Saya telah menerima banyak aduan dari masyarakat umum bahawa terdapat berita palsu yang disebarkan dalam media sosial dengan fitnah kononnya topeng muka dan sarung tangan yang diderma oleh kerajaan China ini adalah tercemar.

(https://www.facebook.com/muhammad.zulfaqar.7140/posts/141298990731531).

Lebih-lebih lagi, berita palsu ini juga mengatakan bahawa kerajaan China adalah kerajaan jahat, “kapiaq” dan bersekongkol dengan DAP. Kesemua ini adalah fitnah berbaur perkauman yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan negara China, serta memudaratkan usaha menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dari ancaman wabak Covid-19.

Di sini, saya ingin mengutuk dengan sekeras-kerasnya pihak-pihak yang menggunakan media sosial untuk memulakan dan menyebarkan berita palsu ini.

Saya juga ingin menggesa pihak polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menahan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menyebarkan fitnah tentang bantuan kerajaan negara China terhadap kerajaan negeri Sabah ini.