1. Angkatan Muda HARAPAN (AMH) membidas tuduhan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi yang cuba mengaitkan kekecohan di Kampung Sungai Baru dengan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) melalui hujahnya yang hanya bermotif politik dan tidak berpegang kepada fakta.
2. Adalah fakta umum bahawa proses pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru berlaku pada zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN). Pengambilan tanah tersebut telah diwartakan pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), iaitu ketika PN memegang tampuk kuasa dan juga menjawat portfolio menteri yang berkenaan.
3. Pemuda PAS mungkin melupai bahawa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah sendiri menyatakan bahawa pihak yang terlibat dengan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru ketika pentadbiran PN perlu memberikan penjelasan kepada rakyat.
4. Daripada menuding jari kepada kerajaan perpaduan, Pemuda PAS seharusnya mendesak pemimpin PN sendiri untuk memberikan jawapan memandangkan keputusan dibuat pada era pentadbiran PN.
5. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, cedera dilontar batu ketika mengawal keadaan dalam operasi pengosongan bangunan. Walaupun kerajaan Madani menjamin hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara, prinsip kebebasan ini tidak membenarkan seseorang untuk mencederakan mana-mana individu, termasuk anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.
6. Pemuda PAS bukan sahaja tidak bersimpati dan membela anggota polis yang diserang lantaran menjalankan tugas, malahan sanggup mengeluarkan kenyataan songsang untuk memutarbelitkan fakta dan cuba mengapi-apikan sentimen perkauman biarpun ada anggota polis yang sudah dicederakan dalam pada itu.
7. Pemuda PAS diingatkan agar tidak memutarbelitkan fakta dan mengeruhkan keadaan untuk menutup kegagalan mereka semasa menjadi kerajaan. Politik fitnah sebegini hanya akan merosakkan perpaduan masyarakat serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
8. Tuduhan Pemuda PAS berhubung isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab, dan berniat jahat. Rakyat Malaysia harus menolak politik sempit berteraskan fitnah dan perpecahan kaum demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.