1. Angkatan Muda Harapan (AMH) ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Allahyarham YB Ishsam Shahruddin atas jasa dan baktinya kepada masyarakat di DUN Ayer Kuning. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah berkhidmat tanpa mengira kaum, latar belakang, dan agama serta memberikan sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat. AMH amat menghargai segala usaha beliau dalam membangunkan kawasan ini dan yakin bahawa kesinambungan kepimpinan yang berkesan perlu diteruskan.
2. Dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, AMH telah mencapai konsensus untuk menyokong sepenuhnya calon perpaduan yang akan diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Tidak kira siapa calon yang akan diumumkan, AMH akan memberikan sokongan penuh dan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan calon perpaduan. Seperti mana BN telah membantu Pakatan Harapan (PH) dalam PRK sebelum ini, termasuk di Pulai, Kuala Kubu Bharu, dan Mahkota, kini tiba masanya AMH membalas kepercayaan tersebut dengan memastikan kemenangan calon perpaduan di Ayer Kuning, sekali gus memperkukuh kestabilan politik negara.
3. AMH menolak sekeras-kerasnya politik fitnah yang sering menjadi taktik utama Perikatan Nasional (PN), khususnya di Perak. Ketua pembangkang Perak sebelum ini telah terpalit dengan pelbagai kes fitnah, termasuk diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi dan membuat permohonan maaf secara terbuka. Budaya politik tidak beretika ini perlu dihentikan, dan AMH menyeru seluruh pengundi agar memilih kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti untuk memacu negeri ke arah yang lebih baik.
4. Hari ini AMH mencabar PN untuk menjelaskan siapakah calon Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak mereka sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan negeri. Tidak seperti PN yang masih kabur dalam soal kepimpinan, kerajaan perpaduan negeri Perak telah menampilkan barisan kepimpinan yang jelas dan bertanggungjawab di bawah Dato’ Seri Saarani Mohamad yang telah memimpin kerajaan negeri tanpa sebarang skandal rasuah. Beliau juga telah membuktikan komitmen terhadap anak muda dengan melantik pemimpin muda ke dalam pentadbiran, termasuk saya sendiri sebagai Exco termuda dalam sejarah negeri ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan bukan sahaja stabil tetapi juga memberi peluang kepada generasi muda untuk berperanan dalam pembangunan negeri.
5. AMH menegaskan bahawa cubaan PN untuk merampas kerajaan melalui PRK ini bukan sahaja mengancam kestabilan politik tetapi juga menggugat kesejahteraan rakyat. Kestabilan politik amat penting dalam memastikan pentadbiran yang lancar, pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kesejahteraan rakyat terjamin. Oleh itu, AMH menyeru pengundi untuk menolak sebarang usaha yang boleh membawa ketidaktentuan politik dan memastikan kemenangan calon perpaduan bagi mengekalkan kestabilan negeri Perak.
6. Sebagai langkah strategik dalam memastikan kemenangan, AMH telah melantik Saudara Khairol Najib, Ketua Pemuda Amanah Perak, sebagai Pengarah Pilihan Raya AMH bagi PRK Ayer Kuning. Beliau akan dibantu oleh Ketua Pemuda PKR Perak, Saudara Zaim, serta Ketua DAPSY Perak, Saudara Wong Kar Keat. Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menggerakkan kempen secara menyeluruh di lapangan dan di media sosial, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai calon perpaduan dan hala tuju kerajaan perpaduan.
7. Maka, AMH menyeru seluruh pengundi, terutamanya anak muda dan perantau di DUN Ayer Kuning, untuk pulang mengundi pada hari pengundian nanti. Kemenangan calon perpaduan adalah kunci kepada kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di Perak, memastikan rakyat terus menerima manfaat daripada kepimpinan yang stabil dan progresif. AMH menolak politik kebencian dan menyeru pengundi untuk memastikan kemenangan calon perpaduan demi masa depan yang lebih terjamin untuk negeri Perak.