Skip to content

Ancaman perwakilan PAS Sabah tindakan tidak bijak

DAP Sabah mengecam tindakan perwakilan PAS Sabah Zulfikar Abdul Mijan yang semberono memberi ancaman kepada Pakatan Rakyat Sabah supaya berbaik semula dengan parti itu atau menghadapi kemungkinan berhadapan dengan PAS dalam pilihan raya negeri dan menyifatkan ugutan tersebut tidak matang dan bakal memakan diri sendiri.

Ugutan saudara Zulfikar menggunakan sentimen agama mengancam untuk bertanding di semua kerusi DUN Sabah dalam pilihanraya negeri amat tidak matang malah saya melihat tindakan beliau memainkan sentimen pengundi beragama Islam seolah-olah cuba membawa perpecahan dalam demografi masyarakat pelbagai agama dan etnik di Sabah yang selama ini hidup dalam harmoni.

Sebelum ini saya hanya mendengar BN sahaja yang mengamalkan budaya ugut-mengugut tetapi sekarang nampaknya PAS Sabah sudah dijangkiti sindrom BN. Lebih malang lagi, Zulfikar seolah-olah tidak tahu sentimen orang Sabah atau beliau sememangnya tidak peduli?

DAP Sabah menolak keras budaya politik pecah perintah yang hanya akan merugikan rakyat Sabah seluruhnya.

Tanpa mengira apa jua agama dan etnik, saya yakin bahawa orang Sabah tidak akan mudah diperalatkan sebegitu rupa dan kita minta PAS Sabah tidak memainkan sentimen agama untuk meraih sokongan politik.

DAP Sabah sebelum ini jelas dengan keputusan parti bersama PKR Sabah untuk membekukan hubungan kerjasama politik dengan PAS Sabah gara-gara tindakan mereka membelakangi kesefahaman yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Rakyat .

Adalah merupakan hak demokratik bagi PAS Sabah untuk bertanding di mana-mana kawasan yang mereka mahu. Dalam hal ini DAP Sabah menghormati pendirian mereka itu selagi mana tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

DAP Sabah ingin menegaskan bahawa parti menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia serta menentang keras sebarang bentuk fahaman politik yang mampu memecah-belahkan semangat toleransi dan keharmonian masyarakat.

PAS Sabah sepatutnya memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan infrastruktur Sabah yang telah lama dibelakangi BN.

Masih banyak rakyat di kawasan kota dan desa yang hidup di bawah paras kemiskinan. Begitu juga dengan kedaifan infrastruktur dan kemudahan asas terutamanya di kawasan pedalaman. Golongan inilah yang perlu diberi perhatian dan bukannya dengan mengugut parti-parti yang tidak mampu bekerjasama dengan mereka.