Dikala bilangan kes positif COVID19 melambung tinggi sehingga mencecah angka melebihi 4000 kes sehari, insiden jenayah seksual lebih cenderung terlepas pandang akibat fokus masyarakat sejagat terhadap kewujudan kluster baharu, komuniti-komuniti yang dijangkiti dan bilakah vaksin COVID19 ini akan sampai di negara kita.
Malangnya salah satu mimpi ngeri saya menjadi kenyataan dengan kes penahanan seorang kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun di Balai Polis Miri di Sarawak pada 8 Januari 2021 sebagai saspek dalam serbuan di premis yang terlibat dalam perjudian. Saya terkejut membaca berita bahawa kanak-kanak ini telah dirogol oleh seorang yang juga ditahan di balai polis yang sama pada 9 Januari 2021 kira-kira jam 4 pagi.
Mujur Senator DAP Alan Ling telah mengiringi mangsa rogol untuk membuat satu laporan polis dan mendedahkan insiden yang jijik ini. Pada masa yang sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail telah memberikan jaminan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap kes rogol ini termasuklah menggantung 2 anggota polis yang bertugas di balai tersebut pada masa kejadian berlaku.
Kejadian yang menjijikkan dan memualkan ini sepatutnya dapat dielakkan kerana bukan tempat seorang kanak-kanak di balai polis. Pasukan yang terlibat dalam serbuan tersebut tidak tahu akan SOP ini atau sememangnya tidak tertera dimana-mana? Kedua, bagaimana saspek yang juga dalam tahanan lokap dalam balai polis yang sama memperoleh akses kepada mangsa kanak-kanak ini? Tidakkah anggota polis yang bertugas dibalai tersebut perasan bahawa seorang tahanan tiada dalam lokap tersebut? Tidakkah mereka mendengar apa-apa bunyi yang mencurigakan dari lokap mereka? Adakah balai polis ini dilengkapi dengan kamera litar tutup CCTV sepertimana yang dilaung-laungkan oleh bukan satu tapi beberapa Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini bahawa semua lokap diseluruh negara akan mempunyai CCTV yang berfungsi? Bagaimanakah Bukit Aman atau PDRM di Sarawak akan menjalankan siasatan dalam terhadap anggota mereka sendiri yang mengingkari tanggungjawab mereka dan mana-mana tindakan salah laku secara bebas, lebih-lebih lagi apabila mangsa merupakan seorang tahanan dalam lokap?
Kecelakaan yang terburuk dalam satu wabak seperti COVID19 ini adalah hakisan hak asasi manusia terutama sekali yang dihadapi oleh kanak-kanak dan wanita, pelarian dan pekerja asing, golongan OKU, golongan minoriti dan warga emas kerana peristiwa seperti ini mungkin cepat hilang dari ingatan kita semua dan penjenayah akan terus melanggar undang-undang. Jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, ianya akan terselindung disebalik berita yang lebih panas seperti darurat politik, kadar pengangguran yang tinggi, sektor pendidikan, musibah banjir yang masih dihadapi oleh beberapa negeri, dan kebocoran seperti peruntukan lebih RM35 juta untuk pembinaan 3 dewan di Kawasan Parlimen Perdana Menteri sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh, Johor.
Insiden meluat ini, seorang kanak-kanak yang ditahan dalam lokap polis dan telah menjadi mangsa rogol dalam balai polis tersebut seharusnya menggoncang dan meledak di negara kita ini dan mencucuh perbualan dan dialog dikalangan masyarakat marhaen betapa pentingnya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.
Malangnya darurat politik ini sekaligus menafikan hak Ahli Parlimen dan tanggungjawab dan tugas Parlimen untuk bersidang untuk membincangkan hal ehwal rakyat. Bukan satu tapi dua sidang Parlimen terpaksa dibatalkan (Mac dan Julai) disebabkan darurat ini. Ini merupakan bukti kukuh bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak berminat untuk mentadbir secara jujur atau peduli akan keadaan sebenar diakar umbi. Kerajaan ini tidak peduli untuk menjalankan amanah sebagai kerajaan yang berpaksikan rakyat dan mandate rakyat.
Sebaliknya, akibat dari satu pentadbiran yang tidak beramanah, tidak telus dan tidak berintegriti, kehidupan seorang kanak-kanak perempuan 16 tahun habis hancur berkecai.
Kepada Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, dan Ketua Polis Sarawak – sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil terhadap penjenayah dan yang bersekongkol dengannya, maka anda semua gagal untuk memberikan perlindungan kepada seorang kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi oleh pihak pembela dan pelindung ini.