Berbeda dengan Pakatan Harapan yang mengangkat Aminuddin Harun (Tok Min) sebagai calon tunggal Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Barisan Nasional (BN) masih gagal menampilkan calon-calon yang lebih berkaliber dan berkemampuan untuk menerajui negeri tersebut sekiranya diberikan mandat.
Sama seperti PAS yang pernah bercakap besar bahawa parti tersebut mempunyai 4 lori pemimpin yang boleh menjadi PM, UMNO pun bernada sama dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai senarai pendek 10 calon MB.
Bukan sahaja tidak mampu menampilkan calon yang sesuai, malah BN terpaksa mengetengahkan Jalaluddin Alias sebagai calon nombor satu untuk menjawat MB Negeri Sembilan.
Bersama dengan 14 ADUN UMNO, Jaluluddin Alias merupakan individu yang menggerakkan segala usaha menebuk atap Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Tok Min.
Malah UMNO Negeri Sembilan di bawah pimpinan Jaluluddin Alias telah bersedia untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada ketika itu demi menubuhkan kerajaan pintu belakang yang membelakangi mandat rakyat yang diberikan pada tahun 2023.
Sekiranya inilah standard UMNO Negeri Sembilan, nescaya rakyat negeri tersebut mampu untuk membuat pilihan yang tepat menjelang 1 Ogos untuk tidak menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri yang mengalami ketidakstabilan politik lantaran BN dan PN kononnya hanya mempunyai persefahaman dan tidak mampu untuk memuktamadkan nama gabungan serta mengumumkan manifesto bersama.
Negara kita pernah mengalami ketidakstabilan politik yang menatijahkan kemelesetan ekonomi lantaran tindakan ahli politik BN & PN yang gemar menebuk atap dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.
Rakyat Negeri Sembilan wajar menolak semua calon yang pernah menebuk atap demi memastikan Negeri Sembilan tidak diterajui individu sedemikian.