Perbuatan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa melanggar SOP PKP membuat rakyat marah dan kecewa. Tatkala ramai rakyat biasa dikenakan tindakan undang-undang tegas kerana melanggar SOP, menteri seperti dia berkumpul beramai-ramai menjamu selera dan beramah mesra. Saya beri tempoh 24 jam untuk beliau memohon maaf atas perbuatannya itu. Dia juga harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sama seperti orang lain. Sekiranya tiada respons dari beliau atas perihal ini, akan saya laporkan kes ini kepada pihak polis dan akan saya mendesak tindakan yang sewajarnya dikenakan ke atasnya.
Ini bukanlah kali pertama perkara seperti ini berlaku. Sebelum ini, beliau pernah memuat naik gambarnya beriadah bersama dua orang rakan di kawasan perumahannya. Mengikut SOP semasa pada ketika itu, aktiviti riadah lebih dari dua orang adalah dilarang sama sekali. Anehnya, tindakan undang-undang tidak dikenakan ke atasnya kerana pertemuan mereka disifatkan secara kebetulan. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam perutusan khasnya pernah membicarakan perihal “no double standard”. Akan tetapi, rakan-rakan menterinya sudah terang-terangan mendapat layanan berbeza apabila melanggar SOP. Pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia senyap seribu bahasa, apa-apa jenis siasatan juga tidak dijalankan oleh mereka apabila perkara seperti ini tersebar kepada umum.
Mengapa Annuar Musa, yang melanggar SOP secara terang-terangan tidak dikenakan tindakan? Apakah alasan beliau tidak dikenakan undang-undang? Adakah para menteri individu berstatus maksum sehingga apa sahaja yang mereka lakukan dibiarkan terlepas begitu sahaja?
Semakin hari, semakin benar norma “antara dua darjat” kerajaan Perikatan Nasional (PN). Setiap minggu, pasti ada saja berita berkaitan menteri PN melakukan perkara-perkara tertentu yang mengecualikan mereka daripada undang-undang negara. Sudahlah peraturan tidak diikuti, tindakan undang-undang yang tegas pula tidak dikenakan ke atas individu-individu ini. Rakyat yang berseorangan menanggal pelitup muka dikenakan tindakan undang-undang serta-merta tetapi tidak mereka. Mohon tiada layanan antara dua darjat oleh pihak berkuasa di dalam pelaksanaan undang-undang!