Saya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Annuar Musa, bukan untuk mengugut atau menakut-nakutkan dia, tetapi untuk membersihkan nama saya memandangkan dia telah mengaitkan saya dengan rusuhan perkauman 13 Mei 1969 dan menuduh saya sebagai pencetus rusuhan ini.
Seperti yang ditanyakan oleh Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng, semalam, saya telah memberikan Annuar pujian yang amat tinggi apabila saya mengatakan yang benda pertama yang Annuar buat selepas menyertai PAS adalah untuk mengikuti jejak langkah Presiden PAS sendiri, Hadi Awang, tetapi kini Annuar mengatakan yang dia merancang untuk menyaman balas saya kerana pujian saya ini. Dia tidak menjelaskan mengapa.
Annuar Musa sedang mencuba untuk menjadi penceramah popular dengan mengaitkan saya dengan rusuhan perkauman 13 Mei, ini adalah kenyataan terakhir saya mengenai Annuar Musa dan saya tidak akan sebut lagi nama dia sehingga selepas berakhirnya enam pilihan raya negeri.
Mengapakah Annuar bertindak seperti sekiranya dia tidak bercakap mengenai Lim Kit Siang dan rusuhan perkauman 13 Mei, dia tidak ada apa-apa yang boleh dikatakan semasa berceramah?
Adakah Annuar dan Perikatan Nasional (PN) menyokong titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan juga Raja-Raja Pemerintah yang lain yang telah menekankan bahawa tanggungjawab yang paling penting hari ini adalah untuk memastikan adanya kestabilan politik dan untuk mengukuhkan perpaduan nasional di Malaysia?
Adakah PN akan menyertai persetujuan pilihan raya dengan semua parti-parti lain dalam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos untuk tidak menyalahguna isu-isu 3R dan membangkitkan tragedi 13 Mei?
Saya telah dilemparkan pelbagai tuduhan dalam 58 tahun kerjaya politik saya. Begitu juga dengan DAP.
Saya pernah dituduh sebagai dilahirkan di China dan datang ke Malaysia semasa berusia 16 tahun, sedangkan saya sebenarnya dilahirkan di Batu Pahat pada tahun 1941 dan bersekolah rendah dan menengah di Batu Pahat.
Saya telah dituduh juga sebagai anti-Melayu, anti-Islam, menyebarkan Islamofobia, komunis, namun mereka yang menuduh ini gagal untuk memberikan sekelumit bukti sekali pun dari berjuta-juta perkataan yang saya telah katakan atau tuliskan sepanjang 58 tahun kerjaya politik saya untuk tuduhan-tuduhan mereka ini.
Antara tuduhan yang paling luar biasa yang dilemparkan kepada saya:
- Tuduhan yang kononnya saya anti-Melayu, anti-Islam, dan menyebarkan Islamofobia, sedangkan anak saya, Lim Guan Eng, telah mengorbankan kerusi parlimen Kota Melaka pada tahun 1999 dan ke penjara untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur. Adakah mana-mana pemimpin PAS yang pernah membuat pengorbanan seperti ini untuk mana-mana gadis Melayu bawah umur, apatah lagi gadis Malaysia dari kaum atau agama yang lain?
- Tuduhan yang mengatakan kononnya saya seorang komunis, walaupun pihak komunis mahu saya kalah di kerusi parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969, di mana mereka telah melancarkan kempen untuk memboikot pilihan raya umum 1969 untuk menunjukkan yang kononnya perjuangan dalam sistem berparlimen tidak lagi relevan.
- Pada tahun 2017, kononnya Mahathir Mohamad telah merasuah saya sebanyak RM1 billion untuk menjadi Pengerusi Pakatan Harapan dan wang ini kononnya dibayar kepada saya di Hong Kong dan Singapura.
- Sebelum Pilihan Raya Umum 2013, tuduhan kononnya DAP dibayar RM1.2 billion oleh pihak Israel untuk membolehkan mereka membina pangkalan tentera laut di Port Dickson.
- Tuduhan semasa Pilihan Raya Umum 2013 yang kononnya DAP mendanai 3,000 orang tentera siber dalam Red Bean Army dengan bajet sebanyak RM100 juta ke RM1 billion dalam enam tahun yang lepas.
Pihak berkuasa di Malaysia, baik dari segi keselamatan atau kewangan, akan dilihat sebagai amat tidak kompeten dan tidak cekap sekiranya mereka membiarkan perkara-perkara tidak masuk akal sebegini terjadi, dan pihak berkuasa di Malaysia tidaklah setidak cekap sebegini.
Para pengundi di Malaysia perlu membuktikan kepada dunia yang mereka tidak ditenggelami tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dalam era media sosial semasa enam pilihan raya negeri berlangsung pada 12 Ogos yang akan datang dan menunjukkan yang mereka boleh membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah, membezakan di antara kebenaran dan penipuan.
Saya teringat dengan filem Tanda Putera yang diterbitkan pada tahun 2013 yang mempunyai cubaan untuk mengatakan yang kononnya saya telah kencing di tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor dan mencetuskan rusuhan 13 Mei.
Bekas Ketua Polis Perak, Yuen Yuet Leng, telah mengatakan pada masa itu, yang insiden “kencing” di tiang bendera kediaman Menteri Besar Selangor ini hanyalah rekaan semata-mata, dan mengatakan yang jika ada sesiapa yang membuat tindakan tidak masuk akal sebegini, dia tidak akan dapat meninggalkan kediaman Menteri Besar Selangor hidup-hidup!
Baru-baru ini, saya terjumpa sepucuk puisi yang saya tulis 66 tahun yang lepas untuk majalah kelas saya di Sekolah Menengah Batu Pahat pada tahun 1957 ketika saya berusia 16 tahun dalam tingkatan III, yang berbunyi:
Satu untuk semua dan semua untuk satu
Kita peduli bukan kerana warna, kepercayaan, atau agama
Kerana bukankah setiap dari kita adalah anak Malaya
Jadi mengapa biarkan pergaduhan kaum yang mengarut berlanjutan?
Kata-kata ini sentiasa menjadi pegangan saya sepanjang khidmat awam hidup saya, dan saya rasa amat jijik apabila ada orang yang sanggup menggunakan fitnah untuk menuduh saya sebagai anti-Melayu, anti-Islam, mempromosikan Islamofobia, komunis, dan lain-lain fitnah buruk lagi.
Sesiapa di Malaysia yang bencikan orang Melayu, atau mana-mana kumpulan kaum atau agama, sama ada Cina, India, Kadazan, atau Dayak, tidak boleh menjadi seorang rakyat Malaysia yang sejati dan patriotik.
Dalam 58 tahun kerjaya politik saya, saya sentiasa melihat diri saya sebagai hanya seorang rakyat Malaysia sepenuhnya. Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai semata-mata seorang Cina, sebaliknya sebagai seorang rakyat Malaysia yang berketurunan Cina, di mana kesetiaan penuh saya hanyalah untuk negara Malaysia, dengan impian bersama dengan rakyat-rakyat Malaysia yang lain, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan mereka, untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik demi semua rakyat Malaysia.