Semacam ada kenyataan yang saling bercanggah dalam skandal pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dilaporkan akhbar Australia, The Age.
Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan telah menyebut bahawa Mara telah memulakan siasatan seawal dua bulan lalu. Bagaimanapun The Sun melaporkan hari ini bahawa soalan-soalan yang diajukan oleh media kepada pengurusan tertinggi Mara sejak Februari, pertamanya kepada CEO Mara Datuk Abdul Halim Rahim tidak mendapat sebarang jawapan.
Annuar pula mendakwa bahawa beliau hanya baru dimaklumkan pada hari Selasa lalu tentang dakwaan rasuah melibatkan Dudley International House terbabit.
Ini boleh dianggap sebagai suatu tindakan menyembunyikan bukti atau maklumat dengan sengaja oleh eksekutif tertinggi Mara yang terlibat dalam pembelian hartanah di Australia tersebut daripada diketahui oleh lembaga pengarah Mara memandangkan pihak akhbar telah mula bertanya sejak bulan Februari.
Dan lagi, adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi Annuar untuk memberi tempoh 7 hari lagi kepada Halim semalam untuk mengemukakan jawapan bertulis sedangkan Halim memilih untuk berdiam diri mengenai tuduhan terbabit sejak bulan Februari.
Annuar sepatutnya mengarahkan semua pihak yang disyaki dalam pengurusan Mara, termasuklah Halim sendiri untuk digantung tugas serta merta sementara siasatan dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa.
Pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan juru-juru audit Bank Negara mesti memulakan siasatan masing-masing tanpa berlengah lagi. Pasport mereka yang disyaki juga seharusnya ditahan dan akaun bank mereka dibekukan sementara siasatan dijalankan.