Saya merujuk kepada artikel Malaysiakini bertajuk “Annuar: DAP pergunakan wanita Melayu muda” bertarikh 10 Oktober 2017 (https://www.malaysiakini.com/news/397831).
Tan Sri Annuar Musa sekali lagi memainkan peranan beliau sebagai cif pencacai kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia dengan menghamburkan penipuan dan kenyataaan tidak masuk akal semasa program ‘Bicara Minda dan Sesi Dialog : Perjuangan For All’ di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur anjuran Pergerakan Puteri UMNO malam tadi.
Kata beliau, DAP mampu memperkudakan sesiapa sahaja termasuk bekas pemimpin UMNO dan rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan demi survival politik. Beliau juga berkata Lim Kit Siang berupaya menjinak dan menumbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kata-kata manis.
Saya terkejut seorang pemimpin UMNO meletakkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pada darjat yang begitu tinggi sekali, sehingga mampu memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad mantan Presiden UMNO selama 22 tahun. Sekiranya benar Lim Kit Siang lebih hebat dari Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia seperti dikatakan beliau, maknanya beliau lebih layak mentadbir kerajaan Malaysia berbanding pemimpin UMNO yang ada sekarang ini.
UMNO yang sebenarnya terdesak
Kenyataan Annuar Musa lebih menunjukkan situasi politik Barisan Nasional di mana UMNO yang memperkudakan parti komponen BN yang lain demi survival politik mereka. Sebagai contoh, Annuar Musa sendiri berkata UMNO dan PAS berkongsi DNA yang sama sehingga mengenepikan parti komponen mereka yang lain demi survival politik hipokrit mereka tetapi bertopengkan perjuangan agama dan bangsa. Adakah parti komponen BN yang lain setuju d untuk bekerjasama dengan PAS seperti yang UMNO mahukan? Atau terpaksa kerana UMNO memperkudakan mereka?
Sudah sering kali dikatakan namun Ketua Penerangan UMNO Malaysia ini masih tidak faham bahawa DAP merupakan parti yang bertanding kerusi paling sedikit berbanding dengan parti lain di dalam rundingan pilihan raya seperti yang terjadi ketika Pilihanraya Umum ke 13 dan tidak mungkin menjadi parti paling dominan.
Beliau juga berkata Pakatan Harapan bertarung nyawa dan terkial-kial mencari sokongan sedangkan pemimpin Barisan Nasional yang sering melakukan ‘blunders’ (kesilapan) bertimpa-timpa memakan diri akhir-akhir ini termasuk:
- Pertemuan Najib-Trump yang diharapkan dapat menunjukkan imej hubungan baik Najib dengan kerajaan Amerika Syarikat di dalam kemelut 1MDB dengan Department of Justice tetapi hanya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana beliau lebih rela membantu ekonomi negara gergasi itu berbanding membantu rakyat yang semakin sempit dihimpit kos sara hidup yang tinggi.
- Pengumuman tergempar yang hanya menunjukkan kepulangan pemimpin veteran Mat Taib kepada UMNO yang menjadi bahan tawa netizens sehinggakan tidak boleh lagi mengambil serius pengumuman tergempar Bapa Pengumuman.
- Kegagalan usaha untuk membeli Ketua ARMADA, Syed Saddiq walaupun ditawar wang ringgit sebanyak RM5 juta, satu modus operandi yang diketahui secara umum milik UMNO.
Semua kegagalan ini dilihat sebagai kegagalan besar oleh seorang Ketua Penerangan UMNO.
Tidak berkelayakan?
Annuar Musa mungkin merasakan pengalaman saya selama lima tahun dalam politik, dan kelayakan saya dengan ijazah Sarjana dari School of Oriental and African Studies, University of London dan ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari UiTM, sebagai tidak cukup layak dan cukup pandai di mata beliau. Mungkin wanita muda di dalam DAP tidak cukup bijak pada pendapat Annuar Musa, tetapi kami cukup bijak dan cukup bangga untuk tidak menyokong mahupun membela kleptokrat, ketua penyamun dan ketua perompak 1MDB mahupun MARA. Maklumlah, kami tidak cukup bijak sehingga mampu membeli Porsche Panamera mahupun memecahkan berbotol-botol bir di pejabat SUK Selangor seperti pemimpin UMNO yang seorang itu.
DAP sudah lama mempunyai wanita muda cuma UMNO yang tidak tahu. Ahli Dewan Undangan Negeri Johor termuda di Malaysia adalah ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung yang memegang jawatan itu pada usia 27 tahun, manakala Hannah Yeoh juga dilantik sebagai speaker wanita pertama di dalam sejarah politik Malaysia pada umur 34 tahun, sesuatu yang UMNO tidak dapat lakukan walaupun memegang tampuk kuasa selama 60 tahun. UMNO masih lagi tersangkut di dalam politik ras kerana tidak nampak akan pencapaian wanita-wanita muda ini hanya kerana mereka bukan Melayu.
Annuar Musa yang sering menuduh parti lain memainkan isu ras, patut melihat ke dalam cermin.