Skip to content

Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2024 DAP Teluk Intan

Dengan sukacitanya Ahli Parlimen Teluk Intan, YB Nga Kor Ming dan Ahli Dewan Negeri Pasir Bedamar, YB Woo Kah Leong mengumumkan pelancaran Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2024 DAP Teluk Intan.

Inisiatif tersebut adalah komitmen kedua-dua wakil rakyat DAP tersebut untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang di kawasan Parlimen Teluk Intan yang telah mencapai kecemerlangan akademik dalam SPM tahun 2024.

Menurut YB Woo Kah Leong yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak, anugerah tersebut adalah bertujuan untuk mengiktiraf usaha keras pelajar serta menggalakkan lebih ramai anak muda untuk terus berusaha gigih demi mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

“DAP Teluk Intan percaya bahawa pendidikan adalah kunci perubahan nasib sesebuah keluarga, dan DAP bertekad untuk menyokong setiap anak murid yang berjuang demi masa depan mereka melalui kaedah pendidikan.”

Selaras dengan prinsip mesra alam dan pendigitalan, semua permohonan kini dilakukan secara dalam talian sahaja dan tiada permohonan bercetak akan diterima.

“Pemohon adalah diperlukan untuk mengisi borang di dalam pautan: [https://shorturl.at/Vz1Nm]. Tarikh tutup permohonan adalah pada 16 Mei 2025. Semua adalah diingatkan untuk memastikan nombor telefon yang diberikan adalah sah.”

YB Woo berkata, mana-mana pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 9A (A+, A atau A-) dalam SPM 2024 dan merupakan pengundi Parlimen Teluk Intan, atau ibu/bapa/penjaga mereka adalah pengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan adalah berkelayakan untuk memohon anugerah tersebut.

“YB Nga & YB Woo berpegang teguh bahawa penyaluran anugerah/bantuan tidak seharusnya berpaksikan faktor kaum, agama atau latar belakang. Semua pelajar Parlimen Teluk Intan yang layak akan diberikan penghargaan secara adil dan telus.”

DAP Teluk Intan akan terus menjadikan pendidikan sebagai keutamaan demi membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda.

Gambar: YB Nga Kor Ming & YB Woo Kah Leong memberikan bantuan kewangan sebanyak RM150,000.00 kepada pelajar-pelajar SK & SMK Parlimen Teluk Intan yang keluarganya berpendapatan rendah dan setiap keluarga telah menerima bantuan sebanyak RM1,000.00.