Skip to content

Anwar ada empat tahun yang pendek untuk melaksanakan perubahan dasar dan reformasi institusi yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia – Melayu dan bukan Melayu – sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 pada tahun 2027

Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk PAS dan Bersatu telah gagal dalam rancangan besarnya untuk menggunakan enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos 2023 untuk menumbangkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dan untuk menggantikannya dengan Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini, dalam masa sepuluh bulan sahaja sudah berjaya menjatuhkan kedudukan Malaysia ke tempat ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2020.

Walaupun rancangan PN untuk membentuk kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang berjaya dipatahkan, gabungan ini masih mencatatkan sedikit kejayaan di ke semua enam-enam negeri.

Anwar Ibrahim ada empat tahun yang pendek untuk melaksanakan perubahan dasar dan reformasi institusi yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia – Melayu dan bukan Melayu – sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 pada tahun 2027, dan untuk memastikan enam pilihan raya negeri ini sahaja sebagai pilihan raya dengan sokongan tertinggi terhadap PN.

Permulaan patut dibuat di sidang Parlimen Khas minggu hadapan di mana rancangan Ekonomi Madani patut dibentangkan untuk dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen.

Untuk tujuan perbahasan parlimen mengenai rancangan Ekonomi Madani, laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang dibuat pada tahun 2018 patut dinyahrahsia dan diterbitkan kepada orang awam.

Penyahrahsiaan laporan CEP dan IRC oleh kerajaan perpaduan Anwar ini amatlah diperlukan kerana laporan ini tidak pernah diniatkan untuk dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan disorok dari perbahasan dan perbincangan awam.

Hakikat di mana Mahathir Mohamad, sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan yang mula mentadbir pada tahun 2018 merahsiakan laporan CEP dan IRC ini di bawah Akta Rahsia Rasmi boleh dikatakan sebagai satu pengkhianatan hasrat rakyat.

Saya telah berulang kali menggesa supaya laporan CEP dan IRC ini diterbitkan, pertama kalinya seawal 13 Oktober 2018, ketika mana saya memetik Pengerusi CEP, Daim Zainuddin, yang menyeru kerajaan untuk menerbitkan cadangan CEP kepada orang awam.

Kerajaan perpaduan Anwar tidak mempunyai apa-apa sebab untuk terus meletakkan kedua-dua Laporan CEP dan IRC di bawah OSA.

Saya sentiasa terfikir-fikir mengapa Mahathir enggan untuk meminta Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menyahrahsia laporan CEP dan IRC, melainkan dia sendiri memang sentiasa merupakan musuh tersembunyi usaha reformasi institusi di Malaysia.

Mengapakah perkara berkepentingan awam berkenaan dengan hal ehwal tadbir urus, integriti, dan pencegahan rasuah dalam laporan CEP dan IRC seperti ini perlu dirahsiakan sebegitu sekali?

Penyahrahsiaan laporan CEP dan IRC ini akan menjadi salah satu hadiah sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang paling bermakna sekiranya dapat dijayakan sebelum 31 Ogos 2023.

Walaupun para pemimpin dan Ahli-ahli Parlimen PN telah mencuba sedaya upaya mereka untuk mencetuskan ketidakstabilan politik dengan mempolarisasi keadaan kaum dan agama di Malaysia, kerajaan perpaduan Anwar setakat ini masih berjaya bertahan dengan ancaman-ancaman ini.

Saya kini lebih yakin yang kerajaan perpaduan Anwar akan bertahan selama lima tahun, walaupun pada masa yang sama, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana konspirasi politik seperti Langkah Sheraton sentiasa menanti di setiap penjuru.

Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, perlu mengotakan janji yang dibuatnya ketika dilantik sebagai Perdana Menteri untuk tidak berkompromi mengenai isu tadbir urus baik, usaha memerangi rasuah, kebebasan badan kehakiman, dan kebajikan rakyat Malaysia, dan kerana inilah dia perlu menyahrahsiakan laporan CEP dan IRC yang dibuat pada tahun 2018 ini.