Skip to content

Anwar berjaya dalam tiga ujian semasa sidang Dewan Rakyat selama lapan minggu manakala para pemimpin dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional gagal dalam usaha mereka untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar dan mempolarisasi negara kita melalui retorik palsu perkauman dan keagamaan

Sidang Dewan Rakyat selama lapan minggu telah berakhir pada hari Selasa lepas – dengan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, berjaya dalam mengatasi tiga ujian utama sidang ini manakala para pemimpin dan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) gagal untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar dan untuk mempolarisasi negara kita melalui retorik palsu perkauman dan keagamaan.

Tiga ujian yang dilepasi Anwar adalah:

  1. Kelulusan usul menjunjung Titah Diraja sempena Pembukaan Parlimen ke-15;
  2. Kelulusan Belanjawan 2023; dan
  3. Mengekalkan harapan rakyat Malaysia bahawa Malaysia mampu untuk mengelakkan hala tuju menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dalam dekad-dekad yang akan datang supaya kita dapat melakukan lebih banyak lagi perkara untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip pembinaan sebuah Malaysia majmuk seperti yang dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan negara (termasuklah empat presiden terawal UMNO) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Seluruh negara perlu ingat, yang walaupun ada usaha dari pemimpin PN untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar – yang dikatakan oleh Presiden PAS, Hadi Awang, sebagai “hak Pembangkang” – usaha ini telah gagal, walaupun negara kita terpaksa membayar harga yang tinggi kerana taktik para pemimpin dan Ahli Parlimen PN ini telah mencipta ketidakstabilan politik dan merendahkan perpaduan negara dengan mempolarisasi hubungan dalam negara dengan retorik palsu perkauman dan keagamaan.

Politik Malaysia telah jatuh ke tahap rendah baharu apabila pemimpin politik dari barisan Pembangkang membuat pertuduhan tidak masuk akal mengenai Islamofobia dan rakyat Malaysia menjual organ untuk kelangsungan hidup tanpa sebarang rasa hormat terhadap integriti maklumat dan kebenaran.

Presiden PAS, Hadi Awang, telah membuat pertuduhan liar dan tidak masuk akal yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia. Namun selepas dicabar berkali-kali selepas lima bulan, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti untuk tuduhan beratnya ini.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula telah membuat pertuduhan serius yang mengatakan ada rakyat Malaysia yang terpaksa menjual buah pinggang mereka untuk kelangsungan hidup, tetapi apabila dicabar untuk membuktikan tuduhannya ini, dia memberikan alasan yang tuduhan ini berasaskan kepada hantaran di kumpulan Facebook dan pihak berkuasa yang perlu menyiasat sama ada terdapat kebenaran atau tidak dalam tuduhan ini.

Para pemimpin politik dalam PN gagal untuk mengambil peranan dalam memimpin untuk membersihkan arena media sosial dan landskap maklumat negara dari penipuan, fitnah, dan berita palsu, sebaliknya mereka menambahkan kekotoran, penipuan, fitnah, dan berita palsu.

Malah, mereka juga telah mengabaikan nasihat dari Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menitahkan bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk “mencapai bintang di langit”.

Di Scotland, seorang yang beretnik Pakistan telah menjadi Menteri Pertama dan ketua Parti Nasionalis Scotland. Di United Kingdom, seorang yang beretnik India pula telah menjadi Perdana Menteri dan ketua Parti Konservatif.

Tetapi di Malaysia, kita kelihatan seperti bergerak ke belakang dengan suara-suara yang cuba mengatakan orang Melayu telah kehilangan kawalan politik dan ekonomi di Malaysia.

Ujian seterusnya untuk kerajaan perpaduan Anwar adalah pilihan raya negeri di enam negeri; Pulau Pinang, Selangor, Negri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Tetapi, ujian ini bukan hanya untuk kerajaan perpaduan Anwar, sebaliknya ia akan menjadi ujian mengenai sama ada Malaysia masih ada masa hadapan untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.